Harakahdaily, | 05 Jun 2013 |
KUALA LUMPUR:Orang ramai meminta polis yang akan didakwa kerana membunuh tahanannya petang ini dibiarkan mukanya terbuka untuk mempastikan ketelusan.
(Surendran dan keluarga N Dhamendran menunjukkan gambar kecederaan kepadanya dalam sidang medianya sebelum ini)
Ini adalah pengajaran dari kes pembunuhan Altantuya Shariibuu yang sehingga hari ini masih kontroversi kerana kedua-dua polis yang didakwa tidak dikenali umum sehingga kini.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan, anggota polis yang terlibat dalam kes pembunuhan seorang tahanan N Dhamendran akan didakwa di mahkamah petang ini atas tuduhan membunuh.
“Pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Ketua Polis Negara untuk menyiasat perkara ini telah menyelesaikan siasatannya dan telah mengemukakan kertas siasatan yang berkaitan kepada Jabatan Peguam Negara pada 4 Jun 2013.
“Berdasarkan keterangan yang diperoleh menerusi siasatan itu, saya telah memutuskan untuk menuduh anggota polis yang terlibat atas tuduhan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Anggota polis yang berkenaan akan dituduh di mahkamah petang hari ini, 5 Jun 2013,” katanya dalam satu kenyataan.
Ekoran itu, orang ramai mula tertanya-tanya, "Jangan2, tutup muka nanti," tulis seorang pembaca kepada berita tersebut selepas disiarkan laman Malaysiakini.
Pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan terdapat 52 kesan kecederaan di hampir seluruh tubuh badan mendiang N.Dhamendran.
Mendiang berusia 31 tahun didakwa dipukul dan didera dengan teruk sehingga meninggal dunia ketika dalam tahanan polis bulan lalu.
Dr Siew Sheue Feng dalam laporan bedah siasatnya mempercayai kematian Dhamendran adalah berpunca daripada kesan pukulan ke atas badan dan kepalanya menggunakan objek tumpul dan keras seperti rotan atau kayu serta mendiang berkemungkinan digari ketika dicederakan.
Laporan itu turut mengesahkan mendiang tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh membawa kepada kematiannya semasa berada dalam tahanan.
“Jelas bahawa mendiang dipukul menggunakan objek tumpul dalam keadaan tangannya digari kerana terdapat kesan kecederaan serius pada pergelangan tangan semasa bedah siasat dilakukan.
“Mendiang juga didapati tidak mampu mempertahankan diri dan dipercayai dipukul secara bertalu-talu dari atas (bahagian kepala) selain forensik turut menemui kecederaan akibat dawai kokot di kedua-dua belah telinganya,” kata Naib Presiden PKR, N Surendran ketika membaca laporan bedah siasat itu di ibu pejabat PKR baru-baru ini.
-harakahdaily
No comments:
Post a Comment