Friday, June 28, 2013

Bangunan Parlimen Bulgaria dikepung


Penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan di semasa bantahan di luar bangunan Parlimen di Sofia, Bulgaria, kelmarin. - REUTERS
SOFIA 27 Jun - Bangunan Parlimen Bulgaria bukan sahaja dikepung oleh kira-kira 5,000 penunjuk perasaan, tetapi turut dibaling dengan telur dan buah tomato ketika protes antikerajaan masuk hari ke-13, semalam.
Walaupun pemimpin Bulgaria cuba meredakan ketegangan di negara termiskin dalam Kesatuan Eropah (EU) itu, penunjuk perasaan terus mengadakan bantahan pada waktu malam.
Mereka mengejek kerajaan Parti Sosialis dan meminta supaya dibubarkan, kurang sebulan parti itu memegang tampuk kuasa.
Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan Parlimen di tengah Sofia pada waktu pagi sambil melaung-laungkan 'Mafia!' dan Letak Jawatan!' serta menghalang ahli-ahli Parlimen daripada memasuki bangunan.
Keadaan itu menyaksikan hanya 112 daripada 240 anggota Parlimen yang berani melalui kumpulan demonstrasi tersebut, sekali gus menyebabkan sesi Parlimen dibatalkan.
Timbalan Speaker dan ahli Parlimen daripada Parti Sosialis, Maya Manolova yang cuba berucap kepada peserta perhimpunan yang marah, terpaksa melarikan diri kerana cubaannya itu dihalang.
Sementara itu menurut polis, lebih 4,000 penunjuk perasaan menyertai perhimpunan berkenaan pada waktu malam dan mereka merancang untuk mengulangi tindakan itu, hari ini.
Hampir 10,000 penduduk mengadakan bantahan pada setiap malam sejak 14 Jun lalu selepas pelantikan kontroversi seorang ahli korporat media sebagai ketua agensi keselamatan yang berkuasa negara ini, tindakan yang membangkitkan kemarahan rakyat Bulgaria yang bosan dengan rasuah dan kroni.
Walaupun pelantikan itu dibatalkan dan Perdana Menteri, Plamen Oresharski memohon maaf, penunjuk perasaan terus mengadakan bantahan terhadap kerajaan dan khasnya ahli politik yang dilihat mudah terpengaruh dengan kepentingan korporat.
Protes besar-besaran menyaksikan kerajaan berhaluan kanan terdahulu pimpinan bekas Perdana Menteri, Boyko Borisov meletak jawatan pada Februari lalu dan memaksa pilihan raya diadakan pada Mei yang menyaksikan pemilihan pentadbiran daripada Parti Sosialis diketuai Oresharski, seorang non-partisan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130628/lu_08/Bangunan-Parlimen-Bulgaria-dikepung#ixzz2XSeyv05t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment