Thursday, June 13, 2013

Bapa minta bantu cari anak gadis

anak hilangAbdullah Yaakub, 62, (kiri) dan isteri, Jariyah Othman, 53, menunjukkan tiga laporan Polis dan gambar anaknya Noor Hasimah Abdullah, 27, dipercayai hilang 23 Mei lepas selepas keluar bersama rakan lelaki yang mengambilnya di rumah sewa di Taman Darul Aman Jaya, Jitra ketika ditemui pemberita di Kampung Tandop Besar, Tekai Kanan dekat sini hari ini. Mereka merayu kepada anak ketiga dari 10 beradik itu pulang ke pangkuan keluarga. Orang ramai yang mempunyai mengenai Noor Hasimah boleh menyalurkan maklumat di balai Polis terdekat atau terus menghubungi Abdullah di talian 019-4166115. - Foto Bernama
KUALA NERANG - Seorang bapa meminta orang ramai membantu mencari anaknya, Noor Hasimah Abdullah, 27, yang hilang selepas keluar bersama seorang rakan lelaki dari rumah sewanya di Taman Darul Aman Jaya, Jitra sejak 23 Mei lepas.
 
Abdullah Yaakub, 62, berkata pelbagai usaha telah dibuat termasuk mencari di beberapa tempat di negara jiran, Thailand namun gagal menemui anaknya itu.
 
Dia yang tidak berputus asa untuk terus mencari anak kesayangan keluarga itu berkata Nor Hasimah yang bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat di Jitra tidak pulang ke rumah selepas keluar dengan seorang rakan lelaki pada 8.30 malam pada hari berkenaan.
 
Katanya dia mendapat tahu mengenai perkara itu selepas anak keempatnya Siti Zulaika, 24, yang tinggal bersama kakaknya itu menghubunginya dan bertanyakan sama ada anak ketiga daripada 10 beradik itu pulang ke rumah.
 
"Pada 26 Mei lepas saya terus buat laporan di Balai Polis Kuala Nerang selepas gagal menghubungi dan mencari anak saya.

"Selepas itu saya buat dua kali laporan di balai Polis Jitra iaitu pada 2 dan 11 Jun agar polis dapat mengesan anak saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tandop Besar, Tekai Kanan di sini hari ini.
 
Siti Zulaika berkata kakaknya keluar rumah sehelai sepinggang dan sempat berpesan kepadanya yang dia akan balik ke kampung selepas keluar makan malam.
 
Katanya dia yang bekerja di syarikat swasta yang sama dengan kakaknya di Jitra, terpaksa berhenti kerja semata-mata untuk membantu mencari kakaknya itu.
 
"Kakak, pulanglah keluarga sangat merindui kakak. Kasihanilah ayah, mak yang sentiasa tunggu kepulangan kakak," katanya.
 
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Noor Hasimah boleh menghubungi mana-mana balai polis atau Abdullah di talian 019-4166115. - Bernama

No comments:

Post a Comment