Thursday, June 13, 2013

VW panggil semula 26,000 unit kenderaan di Australia

VOLKSWAGEN Jetta merupakan antara model yang ditarik balik di pasaran Australia.


CANBERRA - Syarikat pengeluar kenderaan Volkswagen AG akan menarik balik hampir 26,000 unit keretanya di Australia sebagai maklum balas terhadap kemungkinan berlakunya masalah kotak gear, kata syarikat itu semalam.
Langkah sama turut dibuat di China, Singapura dan Jepun.
Syarikat dari Jerman itu dalam satu kenyataan berkata, Volkswagen Australia akan menarik balik model-model seperti Golf, Jetta, Polo, Passat dan Caddy yang dikeluarkan antara Jun 2008 hingga September 2011.
Sebanyak 25,928 unit kereta yang dilengkapi kotak gear berkembar (DSG) tujuh kelajuan didakwa terlibat dengan masalah itu.
Tindakan tersebut diambil selepas pemilik kenderaan membuat aduan mengenai kegagalan transmisi dan enjin yang menyebabkan kereta kehilangan kuasa.
"Dalam kes tertentu, kerosakan elektronik dalam unit kawalan di dalam mekatronik kotak gear boleh mengakibatkan gangguan kuasa," jelas kenyataan Volkswagen AG itu.
Pada Mei lalu, Volkswagen menarik balik kira-kira 91,000 unit kereta di Jepun kerana berhadapan masalah kotak gear.
Hasil siasatan mendapati masalah itu berpunca daripada cuaca panas dan lembap, keadaan jalan raya yang sesak serta faktor pencemaran di beberapa bandar di Asia.
Terdahulu, syarikat tersebut memberitahu bahawa transmisi DSG automatik berteknologi tinggi yang digunakan pada kenderaan di Australia dihasilkan di Eropah dan tidak perlu ditarik balik. - Reuters.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2W2fhaPvJ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment