Monday, June 17, 2013

Gobind tetap perjuang mansuhkan tol

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo

PUCHONG – Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo bertegas tidak akan berputus asa memperjuangkan pemansuhan tol di Puchong meskipun menteri berkaitan hanya ‘mendiamkan’ diri apabila perkara itu beberapa kali dibangkitkan di Parlimen pada penggal lalu.

Beliau berkata, sebagai kerajaan prihatin pihak itu perlu memberi cadangan bagaimana boleh selesaikan masalah yang menjadi isu membebankan rakyat selama bertahun-tahun.

Katanya, beliau tidak akan berhenti ‘bersuara’ di Parlimen dan tidak melepaskan isu tol dengan mudah selagi tiada jalan penyelesaian diambil.

Jelas Gobind, beliau kesal melihat lebuh raya di Puchong mempunyai kepadatan trafik yang amat tinggi namun kadar tolnya tidak dikurangkan.

Beliau ketika ditemui pada Program Jamuan Terima Kasih kepada jentera pilihan raya dan pengundi di Serdang Jaya, kelmarin berkata, adalah tidak masuk akal keadaan itu berterusan kerana semua pihak harus faham apabila kepadatan trafik meningkat harga tol patut diturunkan.

“Mengapa mereka (kerajaan) duduk diam sahaja langsung tidak boleh jawab, saya tanya.. tanya.. tanya... mereka diam.. diam... diam, ini satu kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya akan terus membawa isu ini dan lawan untuk rakyat Selangor,” katanya.

No comments:

Post a Comment