Monday, June 17, 2013

Mengurangkan keganasan pada Ramadan bukan satu perjanjian


Skuad pemusnah bom Thailand memeriksa kawasan letupan bom di tepi jalan di Narathiwat pada 25 Mei lalu. - AFP
BANGKOK 16 Jun - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berkata, mengurangkan keganasan di selatan Thai sempena bulan Ramadan bukanlah satu perjanjian rasmi.
Sebaliknya kata beliau, ia adalah ikrar daripada pihak berkuasa dan wakil-wakil pemberontak di wilayah bergolak itu.
Beliau berkata, pengurangan keganasan sepanjang Ramadan hanya satu 'cadangan' oleh kedua-dua pihak bagi menunjukkan bahawa kami mempunyai misi yang sama iaitu membawa keamanan di wilayah tersebut.
Namun, Yingluck berkata, beliau masih tidak dapat menyatakan sama ada situasi di selatan Thai semakin baik selepas rundingan kali ketiga diadakan di antara kerajaan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN), Khamis lalu.
"Ini baru permulaan. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Kami berharap dapat membawa keamanan di rantau itu, meskipun rundingan ini akan mengambil masa yang panjang," katanya yang dipetik daripada Bangkok Post.
Panel rundingan kerajaan Thai yang diketuai oleh Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanatabut, dan wakil pemberontak wilayah selatan, BRN, bersetuju mengurangkan keganasan sepanjang bulan Ramadan yang akan bermula pada 9 atau 10 Julai ini ketika rundingan pusingan ketiga di Malaysia.
Yingluck dalam pada itu menolak untuk mengulas berhubung lima permintaan awal yang dikemukakan oleh BRN dan menyatakan segala tindakan perlu dibuat selari dengan undang-undang Thailand. - AGENSI
BRN mengeluarkan lima tuntutan melalui video yang dipos di YouTube pada April lalu iaitu menerima Malaysia sebagai orang tengah dalam rundingan itu, membebaskan tanpa syarat tahanan dan pembatalan waran tangkap kepada suspek kes keselamatan, mengiktiraf BRN sebagai pergerakan pembebasan Pattani, penglibatan negara Asia Tenggara lain dalam rundingan dan menjadikan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta pertubuhan bukan kerajaan sebagai saksi dalam rundingan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130617/lu_04/Mengurangkan-keganasan-pada-Ramadan-bukan-satu-perjanjian#ixzz2WQ5W93tX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment