Wednesday, June 26, 2013

Istana Presiden Afghanistan diserang

ANGGOTA pasukan keselamatan Afghanistan berkawal di hadapan pintu masuk Istana Presiden di Kabul semalam.


KABUL - Beberapa penyerang berani mati meletupkan sebuah bom kereta dan menyerang pasukan keselamatan di luar Istana Presiden Afghanistan di sini, selepas mereka menyusup masuk ke kawasan kawalan ketat itu semalam.
Beberapa pegawai berkata, semua penyerang dibunuh pasukan keselamatan dalam insiden tersebut.
Kumpulan militan Taliban mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan mengejut itu.
Kejadian berlaku semasa sejumlah pemberita berkumpul untuk mendengar ucapan Presiden Hamid Karzai berhubung usaha mengadakan rundingan damai dengan kumpulan militan itu.
Istana tersebut berada di zon yang dikawal ketat yang turut merangkumi Kedutaan Amerika Syarikat dan ibu pejabat bagi tentera pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sini. Akses ke lokasi itu adalah sangat terhad.
Istana tersebut menempatkan kediaman Karzai. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada presiden itu ada di dalam bangunan ketika pertempuran berlaku.
Tembakan bermula sekitar 6.30 pagi dalam kawasan yang dikawal ketat berhampiran pintu timur menuju ke istana. Ia kemudian merebak ke Kementerian Pertahanan Afghanistan.
Ketua Polis Kabul, Jeneral Mohamad Ayub Salangi berkata, seramai tiga atau empat lelaki bersenjata melompat keluar dari SUV mereka dan melepaskan tembakan semasa anggota-anggota keselamatan memeriksa dokumen pengenalan mereka.
Menurutnya, semua lelaki bersenjata itu terbunuh. Sementara seorang pengawal keselamatan istana cedera dalam insiden tersebut.
Sebuah kereta berisi bom meletup tidak lama kemudian ketika kenderaan tersebut memasuki kawasan itu.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengaku kumpulannya bertanggungjawab melakukan serangan mengejut itu.
"Pejuang-pejuang kami telah 'membawa kematian kepada musuh' dengan serangan berani mati," katanya dalam satu mesej teks.
Taliban sebelum ini menyatakan mereka bersedia untuk membuka rundingan damai dengan Amerika Syarikat dan kerajaan Afghanistan. Minggu lalu, ia membuka sebuah pejabat di Qatar bagi tujuan tersebut.
Namun, pada masa yang sama mereka tidak menolak untuk melancarkan keganasan dan serangan berterusan di seluruh Afghanistan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0626&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2XGrKcuDM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment