Wednesday, June 26, 2013

Angelina Jolie bidas Majlis Keselamatan PBB



ANGELINA JOLIE menyampaikan ucapan pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di New York semalam.


NEW YORK - Utusan Khas Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Angelina Jolie kelmarin mengkritik Majlis Keselamatan pertubuhan itu kerana tidak memberi perhatian serius terhadap masalah rogol di Syria dan negara lain yang berdepan dengan konflik perang.
Duta dari negara-negara seperti Rusia, China, Amerika Syarikat, Perancis dan Britain yang tidak sependapat mengenai perang di Syria, mendengar kritikan Jolie yang menegaskan bahawa mereka gagal untuk membela mangsa serangan seksual.
"Dunia masih belum menganggap kejadian rogol dalam zon perang sebagai perkara yang mesti diutamakan," kata aktres itu.
Jolie kini giat melobi mengenai perkara tersebut selepas melawat kem-kem pelarian warga Syria di Jordan minggu lalu.
Jolie memberitahu para diplomat bahawa dia bertemu dengan seorang mangsa rogol di Jordan tetapi wanita itu takut untuk mendedahkan namanya kerana bimbang dibunuh.
Aktres itu juga menyatakan yang dia ada berjumpa dengan ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dirogol di luar balai polis di Goma, Republik Demokratik Congo.
Setiausaha Luar Britain, William Hague menegaskan, beliau akan mencari jalan penyelesaian dan mengadakan mesyuarat mengenai isu keganasan seksual dalam zon perang pada Perhimpunan Agung PBB pada September depan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0626&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2XGrAIYd9 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment