Wednesday, June 26, 2013

Misteri kehilangan pembocor maklumat AS


PESAWAT SU150 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jose Marti di Cuba kelmarin tanpa kelibat Snowden.


MOSCOW - Pembocor maklumat rahsia Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden seolah-olah hilang begitu sahaja di ibu kota Rusia, di sini, selepas dia tiba dari Hong Kong pada hujung minggu lalu.
Pihak berkuasa AS kini giat memburu bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) dan bekas juruteknik Agensi Perisikan Pusat (CIA) itu.
Snowden memalukan AS apabila dia mendedahkan fail program pengintipan perbualan telefon dan e-mel rakyat negara kuasa besar itu yang dikenali sebagai PRISM.
Menurut laman web antikerahsiaan WikiLeaks, Snowden meninggalkan Hong Kong dan menuju ke sini pada Ahad lalu dengan menaiki penerbangan syarikat Rusia, Aeroflot.
Kata WikiLeaks, Snowden telah menerima dokumen perjalanan sebagai pelarian daripada kerajaan Ecuador. Bekas ejen CIA itu sebelum ini dilaporkan mahu mencari suaka politik di negara Amerika Selatan tersebut.
Ecuador turut melindungi pengasas WikiLeaks, Julian Assange di Kedutaannya di London.
Pada masa ini, Washington telah membatalkan pasport Snowden dan memfailkan permohonan ekstradisi terhadap pembocor maklumat itu di Hong Kong.
Namun, permohonan AS ditolak oleh kerajaan Hong Kong dengan alasan dokumen ekstradisi Washington tidak lengkap.
Tambahan pula, menurut kerajaan Hong Kong, Snowden 'secara sukarela' telah meninggalkan pulau itu untuk menuju ke negara ketiga.
Terdahulu, berpuluh-puluh wartawan berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo di sini, namun gagal menemui Snowden.
Snowden telah mendaftar masuk dalam penerbangan SU 150 milik Aeroflot menuju ke Havana, Cuba dari sini kelmarin, tetapi dia tidak menaiki pesawat tersebut.
Dia dilaporkan akan menaiki penerbangan SU 150 untuk ke Cuba dan seterusnya ke Ecuador.
Ketiadaan bekas kontraktor NSA itu mencetuskan pelbagai spekulasi dengan sebahagian wartawan menyatakan dia tiada niat untuk ke Cuba.
Maklumat yang diberikan adalah untuk mengelirukan wartawan.
Agensi berita Rusia, Interfax menyatakan bahawa Snowden mungkin keluar dari Rusia secara rahsia ketika penerbangan SU 150 berlepas.
Namun, sebuah lagi agensi berita Rusia, ITAR-TASS menolak laporan tersebut. Ia yang memetik kenyataan sumber melaporkan, Snowden masih berada di lapangan terbang Sheremetyevo.
Dia dilaporkan tinggal di bilik kecil hotel kapsul yang terdapat di sekitar terminal. Snowden kemudian berlepas dari lapangan terbang Sheremetyevo untuk menunggu penerbangan seterusnya bagi mengelak dijejaki wartawan.
Sebahagian pihak lagi menyatakan bahawa Snowden kini berlindung di Kedutaan Ecuador di Rusia.
Namun, AS semestinya memburu pembocor maklumat itu dan tidak akan membiarkan dia terlepas. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0626&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2XGqW33XP 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment