Kaherah: Pemilihan pemenang Anugerah Keamanan Nobel Mohamed ElBaradei sebagai perdana menteri sementara Mesir gagal menyatukan gabungan pembangkang Mohamed Mursi ketika penyokong kedua-dua kumpulan merangka perhimpunan masing-masing hari ini.
Agensi berita rasmi MENA semalam berkata, presiden sementara Adly Mansour melantik tokoh liberal dan pengkritik tegas Mohamed Mursi sebagai perdana menteri peralihan.
Hanya sejurus kemudian, pejabat presiden kemudian menafikan keputusan akhir mengenai pelantikan itu sudah dibuat. Wartawan sudah berkumpul di Istana Presiden untuk mendapatkan kenyataan rasmi yang dijanjikan Adly dan ElBaradei tetapi program itu dibatalkan tiba-tiba. Sementara itu kumpulan Islam Salafi yang menyokong Mohamed Mursi ekoran rampasan kuasa tentera minggu lalu turut menolak pelantikan ElBaradei. Penasihat presiden Ahmed al-Muslimani berkata, ElBaradei - bekas ketua agensi pemantau nuklear PBB - kekal sebagai calon paling utama untuk dilantik ke jawatan itu.
“Namanya berada di kedudukan teratas dalam senarai calon,” katanya. Namun, petang semalam seorang ahli politik kanan Salafi berkata, parti diwakilinya, al-Nour, menolak ElBaradei.
Keputusan itu dibuat selepas rundingan mengenai pelantikan itu dibuat. “Alasan kami mudah. Ada dua sebab untuk menolak ElBaradei.
“Pertama, kita perlukan tokoh ekonomi teknokrat dan kedua, Mesir perlu menamatkan perpecahan di kalangan rakyatnya,” katanya. Dalam keadaan semasa, katanya, tiada rundingan perpaduan dapat dijalankan apabila penentang utama Mohamed Mursi dilantik sebagai perdana menteri. - AFP
No comments:
Post a Comment