Senario di Mesir boleh merebak ke Tunisia?
Senario di Mesir boleh merebak ke Tunisia?
RACHED Ghannouchi yang mengetuai parti pemerintah Tunisia, Ennahda yang mempunyai hubungan rapat dengan Ikhwanul Muslimin menolak kemungkinan akan berlaku senario sama di negara itu selepas Mursi digulingkan.

"Ada pihak merasakan mereka boleh mengulang semula insiden sama di Tunisia, namun usaha mereka hanya sia-sia.

Situasi di Tunisia adalah berbeza daripada konflik yang sedang melanda Mesir," jelasnya.

Menurutnya, mereka telah menggunakan strategi berdasarkan persetujuan antara gerakan Islam dan moden yang menyelamatkan negara tersebut daripada konflik.

Difahamkan, penduduk Tunisia turut melancarkan kempen Tamarod yang sebelum ini menjadi penggerak kepada protes besar-besaran menentang Mursi pada 30 Jun lalu.

Selain itu, Rached juga menegaskan tentera di Tunisia berada di luar kuasa bidang politik dan keadaan itu menyebabkan ia adalah satu perkara mustahil untuk menyaksikan insiden rampasan kuasa.

"Mursi terpaksa akur dengan kata dua yang diberikan tentera kerana mereka mempunyai pengaruh yang besar, memandangkan negara itu telah diperintah angkatan tentera selama 60 tahun," katanya.

Kestabilan politik di Afrika Utara yang pernah terjejas akibat revolusi kebangkitan rakyat lebih dua tahun lalu didakwa masih rapuh.   

Kuasa politik kini terperangkap dalam satu perdebatan kerana mereka terus berusaha untuk membuat pasca revolusi Perlembagaan.

Walaupun Parlimen dikuasai parti Ennahda, kerajaan masih gagal untuk menerima pakai Perlembagaan baru. 

Perlembagaan baru itu dianggap sebagai kunci utama untuk mengembalikan kestabilan di Tunisia dan dapat membantu mengatasi krisis politik, pergolakan sosial dan serangan ganas oleh kumpulan radikal yang mencetuskan kekacauan sejak tercetusnya revolusi tersebut.

Pada masa ini, penganjur Tamarod di Tunisia mendakwa telah memperoleh 180,000 tandatangan menerusi petisyen antikerajaan dilancarkan pada minggu lalu yang menuntut Perhimpunan Kebangsaan dibubarkan.

Bagaimanapun, ia tidak dapat disahkan, namun laman Facebook kumpulan itu menunjukkan mereka mempunyai tidak kurang daripada 4,500 ahli dan petisyen dalam talian juga memperoleh tidak kurang daripada 10,000 tandatangan.

Perhimpunan Kebangsaan telah dibentuk pada Oktober 2011, beberapa bulan selepas kebangkitan rakyat menggulingkan bekas Presiden Zine El Abidine Ben Ali.


Petanda buruk bagi gerakan Islam?

Insiden penggulingan Mursi telah memberi satu tamparan hebat kepada pemerintah Hamas, sekali gus mencetuskan persoalan berhubung masa depan gerakan Islam di rantau itu.

Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh menyatakan beliau sedang memantau perkembangan tersebut di Gaza dan berharap hubungan itu akan bertahan walaupun Mesir kini dilanda krisis. 

"Kami tidak gentar dengan situasi ini walaupun kadangkala negara Islam terpaksa berhadapan kesukaran akibat campur tangan asing," jelasnya.

Khamis lalu, Mesir turut bertindak menutup pintu sempadan dengan memberi alasan bimbang terhadap keselamatan selepas suspek militan melancarkan serangan di empat kawasan di utara Semenanjung Sinai.

Susulan daripada insiden itu, kira-kira 200 penduduk Palestin terpaksa pulang ke Gaza.

Kebanyakan pegawai Hamas melihat keadaan politik di Mesir itu mungkin akan menyebabkan kedudukan serantau menjadi lemah dalam jangka masa pendek. 

Gaza dan Mesir mempunyai hubungan yang rapat kerana kedua-dua negara tersebut turut berkongsi sempadan termasuk hubungan kebudayaan penting.

Selain itu, Kaherah turut menjadi pembekal utama pelbagai barangan termasuk bahan api, walaupun kebanyakannya terpaksa diseludup melalui terowong rahsia.

Pengulas pro-Hamas, Mustafa Sawaf berpendapat hubungan Mesir dan Gaza akan menjadi suam-suam kuku untuk sementara waktu, namun ia dijangka kembali seperti biasa selepas keadaan reda.

"Bagi mengekalkan kepentingan awam,  hubungan erat antara Gaza dan Mesir amat diperlukan," katanya.

Sebelum ini, sejurus selepas beliau dilantik sebagai presiden, Mursi bertindak segera menjalinkan semula hubungan dengan Hamas selepas hubungan bersama pemerintah terdahulu, Hosni dilaporkan tegang selama beberapa tahun.

Apakah kempen Tamarod?

1. Tamarod bermaksud pemberontak dalam bahasa Arab.

2. Diasaskan oleh lima aktivis Gerakan Perubahan untuk Mesir pada akhir April lalu yang menolak perubahan politik semasa pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak pada 2004-2005.

3. Gerakan pembangkang di peringkat akar umbi ini mendakwa berjaya memperoleh 22 juta tandatangan (hampir separuh daripada 50 juta penduduk yang layak mengundi) menerusi petisyen menuntut Mursi berundur.

4. Walaupun gerakan ini pernah menyertai protes menuntut Hosni berundur pada 2011, mereka tidak memainkan peranan penting ketika itu.

5. Mempunyai penyelaras rangkaian di 27 wilayah di negara itu dengan dianggotai kumpulan sukarelawan.

6. Antara rungutan yang terkandung dalam petisyen mereka;

-Tahap keselamatan tidak dipulihkan sejak revolusi 2011.

-Golongan miskin tidak diterima masyarakat.

-Kerajaan terpaksa meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk pinjaman berjumlah AS$4.8 (RM15.3 bilion) bilion bagi menyokong kewangan awam.

-Tiada keadilan terhadap mangsa yang terkorban akibat tindakan keselamatan pasukan keselamatan semasa protes antikerajaan ketika revolusi kebangkitan rakyat.

-Ekonomi merosot dengan pertambahan golongan miskin dan peningkatan inflasi.