Monday, July 8, 2013

Abu Qatada dihantar pulang ke Jordan

GAMBAR fail pada 13 November menunjukkan suspek pengganas Abu Qatada tiba di rumahnya di barat daya London, Britain.- Reuters


LONDON - Seorang ulama radikal Britain, Abu Qatada mengaku tidak bersalah semalam berhubung dakwaan berkaitan keganasan oleh pendakwa raya Jordan.
Peguamnya, Taysir Diab berkata, pengakuan tersebut dibuat beberapa jam selepas Abu Qatada, 53, diusir ke Jordan dari Britain.
"Saya akan mengemukakan rayuan hari ini supaya dia dapat dibebaskan dengan ikat jamin," kata peguam itu.
Anak guamnya diusir dari Britain ke Jordan semalam bagi menghadapi tuduhan berkaitan keganasan.
Abu Qatada atau nama sebenarnya, Omar Mahmoud Mohammed Othman dikehendaki di Jordan untuk perbicaraan semula beberapa kes keganasan.
Britain telah cuba untuk mengusir Abu Qatada yang dianggap pengganas Al-Qaeda di Eropah sejak 2001 tetapi mahkamah negara itu menyekat permohonan ekstradisinya.
Ia berikutan mahkamah Britain bimbang pihak berkuasa Jordan akan menyeksa Abu Qatada untuk mendapatkan bukti, sekali gus menyalahi hak asasi manusia.
Pengusiran Abu Qadata diumumkan oleh Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa Mei.
"Kali ini, lelaki berbahaya itu telah dikeluarkan dari negara kita untuk menghadapi tuduhan di mahkamah negaranya," kata Mei.
Perkembangan itu berlaku selepas Britain dan Jordan mengesahkan perjanjian bagi menghalang penyeksaan bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan pencabulan hak asasi manusia ke atas tahanan di negara itu.
Abu Qatada dituduh oleh Britain sebagai mempunyai hubungan dengan pengganas Al-Qaeda, Zacarias Moussaoui.
Zacarias didakwa di Amerika Syarikat (AS) berhubung tragedi serangan pada 11 September 2001.
Rakaman audio beberapa khutbah ulama itu yang ditemui di sebuah apartmen di Hamburg, Jerman telah digunakan oleh beberapa penyerang dalam serangan 11 September ke atas AS. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0708&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2YQMKxknq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment