Monday, July 8, 2013

ElBaradei dijangka isi jawatan PM


Penyokong Mursi membawa keranda sebagai simbol pengebumian empat rakan mereka yang terbunuh ketika bertempur dengan polis di luar ibu pejabat Pengawal Republican di Kaherah, kelmarin. - REUTERS
KAHERAH 7 Julai - Penerima anugerah Nobel Keamanan, Mohamed ElBaradei (gambar) mendahului senarai calon untuk mengisi jawatan Perdana Menteri untuk memimpin Mesir keluar daripada krisis, kata jurucakap Presiden, Ahmed al-Muslimani, semalam.
Terdahulu, pergerakan Tamarod yang mendalangi pemberontakan besar-besaran yang menyaksikan penggulingan Presiden Mohammed Mursi oleh tentera pada minggu lalu, berkata, ElBaradei telah dilantik menjadi Perdana Menteri selepas perbincangan dengan pemimpin kerajaan sementara Mesir.
Agensi berita rasmi, MENA dan beberapa sumber mengesahkan pelantikan ElBaradei itu, namun Ahmed kemudian menyatakan Perdana Menteri baharu Mesir masih belum diumumkan.
Ahmed mengesahkan, Presiden sementara, Adly Mansour telah mengadakan pertemuan dengan ElBaradei, hari ini, namun setakat ini tiada pelantikan rasmi dibuat.
Beliau berkata, ElBaradei juga 'merupakan pilihan logik' untuk memegang jawatan itu.
''ElBaradei merupakan calon terkuat. Beliau kini mendahului senarai calon,'' katanya.
Sumber rapat kepada rundingan pemilihan tersebut memberitahu AFP, pelbagai pihak yang bersetuju dengan pelan damai tentera untuk peralihan politik, masih cuba meyakinkan Parti Salafis al-Nour untuk menyokong ElBaradei.
Pengumuman pelantikan tersebut berlaku, ketika demonstrasi oleh pergerakan Islam mendesak jawatan Mursi dikembali semula yang menyaksikan pertempuran dalam tempoh 24 jam yang lalu mengorbankan 37 orang dan lebih 1,400 orang lagi cedera.
Ahmed berkata, rundingan turut diadakan dengan Ikhwanul Muslimin membenarkan pergerakan Islam itu menyertai pilihan raya baharu yang akan diadakan.
''Ikhwanul Muslimin mempunyai peluang untuk bertanding dalam semua pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Presiden yang akan datang atau pilihan raya selepas itu,'' katanya. - AFP/Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130708/lu_01/ElBaradei-dijangka-isi-jawatan-PM#ixzz2YRvs0UiQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment