Wednesday, July 24, 2013

Keganasan semakin buruk di Selatan Thai


NARATHIWAT - Selatan Thailand masih belum dapat melalui hari-hari dalam bulan Ramadan ini dengan aman walaupun gencatan senjata dilaksanakan melalui Inisiatif Keamanan Ramadan.

Hari ini dan semalam beberapa kematian akibat tindakan keganasan berlaku di beberapa tempat.

Ketua polis wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Polis Wichai Kasemwong berkata sepasang suami isteri beragama Buddha mati ditembak di Kampung Kokmuba, daerah Takbai, Narathiwat tengah hari ini.

Kejadian 1.30 tengah hari itu berlaku semasa NaiChuai Temmuak dan Prapa Sanguanpan sedang dalam perjalanan pulang ke pekan Sungai Golok dengan menunggang motosikal, kata beliau.

Wichai Kasemwong berkata kedua-duanya adalah mangsa balas dendam berikutan kematian seorang anggota puak pemisah RKK (Runda Kumpulan Kecil) yang mati ditembak pihak keselamatan dalam satu pertempuran beberapa hari lalu.

Sementara itu, di Pattani pula, Hama Che Awae, 43, seorang tukang kebun Lembaga Pentadbiran Mukim Klong Maning, daerah Muang Pattani mati ditembak dalam di hadapan rumahnya dalam kejadian pada 1.50 pagi tadi.

Ketua polis daerah Pattani, Kolonel Polis Tuandir Jutanon berkata mangsa pernah ditahan di bawah undang–undang darurat atas tuduhan keamanan tetapi dibebaskan mahkamah.

Kejadian masih dalam siasatan. Pada 8.30 pagi, Saari Maming, 53, cedera ditembak di kampung Raweng, Yarang Pattani.

Di Yala pula, mayat seorang lelaki ditemui di kampung Lidong, daerah Muang Yala.


Boleh dikatakan keadaan keganasan tidak berubah walaupun di bulan Ramadan atas sebab biasa sama seperti bulan-bulan lain, dan yang tidak berlaku ialah kes pengeboman harian sahaja, kata Isra News Agency dalam artikel bertajuk "Suasana Harmoni Sudah Hilang: Suara Dari Anggota Gerakan di Lapangan."

Menurut artikel itu melihat kembali perkembangan di selatan, dalam sepuluh hari pertama Ramadan terdapat dua kejadian tembakan yang menimbulkan keraguan di kalangan penduduk di selatan Thailand iaitu kematian seorang ustaz dalam kejadian tembakan di Benangkuwang Benansetar dan seorang lagi bekas tahanan kes keamanan yang cedera parah.

Ia disusuli kejadian pengeboman ke atas anggota tentera dan disusuli pula dengan pemburuan dan seorang suspek ditembak mati di daerah Jok Irong, Narathiwat.

Sejak itu pembunuhan ke atas rakyat awam secara kejam berlaku hampir setiap hari, katanya.

Menurut artikel itu, pihak kerajaan harus memberi perhatian bagi menyelesaikan masalah dan membetulkan salah faham di peringkat akar umbi yang merupakan titik permulaan utama bagi kedamaian sebenar. - Bernama

No comments:

Post a Comment