Tujuh korban protes Mesir
Penyokong Mursi membantah tindakan rampasan kuasa yang menggulingkan pemimpin kesayangan mereka, Mursi.
KAHERAH - MESIR - Seramai tujuh dilaporkan terbunuh dan lebih 20 cedera dalam satu pertempuran antara kumpulan penyokong dan penentang Presiden Mesir, Mohammed Mursi, kelmarin.

Menurut pegawai perubatan, pertelingkahan itu berlaku di Bandar Nasr dan Giza.

"Pertempuran tersebut berlaku selepas ratusan penyokong Mursi berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi membantah tindakan AS mencampuri hal ehwal dalaman Mesir.

Menurut laporan dipetik PressTV kedua-dua kumpulan itu turut membaling batu antara satu sama lain sejurus penyokong Mursi memasuki Dataran Tahrir sehingga polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Sebelum itu, anak perempuan Mursi, Shaimaa mengeluarkan amaran untuk mengambil tindakan udang-undang terhadap Jeneral Abdel Fatah Al Sisi dan tentera atas dakwaan menculik bapanya, Presiden Mesir yang sah.