LA PAZ 3 Julai - Bolivia, hari ini marah apabila beberapa negara Eropah tidak membenarkan pesawat Presidennya, Evo Morales (gambar) menggunakan ruang udara mereka kerana disyaki membawa pembocor maklumat risikan Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden di dalam pesawatnya.
Terdahulu, Morales berada di Moscow di mana Snowden terkandas di lapangan terbang negara itu, bagi menghadiri satu mesyuarat negara penghasil tenaga.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Ketika dalam perjalanan pulang ke Bolivia dari Moscow, beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Sepanyol, Portugal dan Itali pada awalnya menolak hak pesawat Morales untuk menggunakan ruang udara negara mereka.
Pesawat Morales yang dalam perjalanan ke La Paz akhirnya terpaksa mendarat di Vienna.
Bolivia berkata, AS menjadi dalang dalam kejadian terbaru melibatkan Snowden itu.
Menteri Pertahanan, Ruben Saavedra berkata, empat negara menolak memberi kebenaran kepada pesawat Morales untuk menggunakan ruang udara mereka, namun Sepanyol akhirnya mengubah keputusan tersebut.
Menteri Luar, David Choquehuance menafikan Snowden berada dalam pesawat tersebut dan menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai 'satu pembohongan besar'.
''Morales bukan seorang penjenayah. Beliau mempunyai kekebalan di dalam pesawatnya,'' kata Naib Presiden Bolivia, Alvaro Garcia. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130704/lu_09/Kerajaan-Bolivia-kecam-tindakan-Eropah#ixzz2Y5RALXm2
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment