Tuesday, July 30, 2013

Penyokong Mursi terus berarak




Beribu-ribu penyokong Mursi berkumpul menunaikan solat berjemaah di bandar Nasr. Kumpulan itu telah membina khemah dan mengadakan tunjuk perasaan setiap hari di Kaherah bagi mendesak tentera mengembalikan jawatan Mursi sebagai Presiden. - AGENSI



KAHERAH 29 Julai - Beribu-ribu penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi berarak ke satu kemudahan tentera di sini yang boleh meningkatkan risiko konfrantasi, selepas berpuluh-puluh penyokong Mursi ditembak mati pada hujung minggu lalu.


Jurucakap Ikhwanul Muslimin berkata, perarakan itu bermula dari Masjid Rabaa al-Adawiya di utara Kaherah, yang menjadi pusat demonstrasi bagi menuntut jawatan Mursi dikembalikan sejak beliau digulingkan pada 3 Julai lalu.


Mereka berarak ke bangunan risikan tentera yang terletak beberapa kilometer dari masjid tersebut.


Wartawan Reuters melaporkan, beribu-ribu penunjuk perasaan tersebut melaungkan ‘Darah dan jiwa kami dikorbankan untuk Mursi’ sambil berarak.


Tentera Mesir yang menyedari rancangan perarakan tersebut telah mengeluarkan kenyataan menggesa penunjuk perasaan tidak menuju ke kemudahan tentera tersebut.


Beribu-ribu penunjuk perasaan juga tidak menghiraukan ancaman tentera supaya mereka bersurai dari pusat demonstrasi tersebut.


Kira-kira 120 penyokong Mursi ditembak mati oleh pasukan keselamatan kelmarin di pusat demonstrasi tersebut, kejadian yang memburukkan lagi konflik di Mesir.


Dalam pada itu, Majlis Pertahanan Nasional Mesir, semalam memberi amaran bahawa tindakan ‘tegas dan keras’ akan diambil jika penunjuk perasaan bertindak melanggar undang-undang.


Majlis yang turut dianggotai Presiden sementara, Adly Mansour dan ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi itu meminta penunjuk perasan tidak melanggar hak memberi pandangan dan mengadakan demonstrasi secara aman. - REUTERS/AFP



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130730/lu_05/Penyokong-Mursi-terus-berarak#ixzz2aWym5SBQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment