Tuesday, July 30, 2013

NGO Thai minta bantuan Malaysia



BANGKOK - Beberapa badan bukan kerajaan di selatan Thailand merayu bantuan Malaysia mencari jalan menyelesaikan masalah pembunuhan orang Islam yang berlaku semasa proses rundingan damai yang sedang berjalan antara Kerajaan Thailand dan pihak Barisan Revolusi Nasional (BRN) sekarang.

Keputusan itu dibuat pada Seminar Tenaga Jaringan Rakyat Menjaga Pengancaman di Musim Rundingan Damai yang diadakan di Yala pada Ahad lepas dan dihadiri lebih 200 peserta.

Mereka mewakili badan bukan kerajaan seperti Jaringan Menegak Keadilan untuk Kedamaian (JOP), Jaringan guru TADIKA wilayah Selatan, Jaringan Imam wilayah Selatan dan Jaringan Sivil Masyarakat untuk Kedamaian.

Seminar yang dianjurkan Jaringan Tahanan Kes Keamanan itu membincangkan secara terbuka isu keselamatan khususnya yang melibatkan orang yang pernah menjadi tahanan kes keselamatan dan tidak bersenjata.

Thammarat Alilateh, Setiausaha JOP dan anggota panel seminar itu berkata, sudah lima anggota JOP telah ditembak mati dan amat mengharapkan anggota JOP tidak lagi menjadi sasaran semasa rundingan damai berlangsung.

Beliau berkata, JOP akan menyediakan surat rayuan untuk diserahkan kepada kedutaan Malaysia di Bangkok untuk melindungi rakyat di dalam kawasan yang sering berlaku supaya mereka tidak dibunuh.

Atif Sokkho, seorang lagi peserta seminar, berharap Malaysia yang berjaya menarik pihak kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional ke meja rundingan damai, akan dapat membantu menyiasat kejadian pembunuhan orang Islam di selatan Thailand.

Antara kes yang dibincangkan pada seminar itu ialah kes guru tadika Ahamad Dolah yang ditembak di Betong, Yala pada 10.30 malam, 26 Julai.

Beliau yang pernah ditahan mengikut undang-undang darurat pada 2009 dan kemudian dibebaskan ditembak dengan senjata M16 di kepala dan badan di hadapan rumahnya selepas balik menunaikan solat tarawih. Terdapat 21 kelongsong peluru M16 di tempat kejadian.

Anggota panel lain ialah Adilan Ali Ishak yang mewakili Yayasan Peguam Muslim (MAC), Tuwaedaniya Tuwaemaegae dari Lembaga Patani Raya untuk Kedamaian dan Pembangunan (LEMPAR) dan Nuangnoi Thammasathian dari kumpulan FT Media.

Tuwaedaniya Tuwaemaegae memberi saranan sebagai pilihan untuk menjaga dan melindungi bekas tahanan daripada dibunuh iaitu menghilangkan diri dan berlindung di negara jiran, menjadi pelarian politik ke luar negara, atau berjuang serta melawan secara berdepan di tanah air sendiri.- Bernama

No comments:

Post a Comment