Washington: Pintasan perbualan antara pemimpin kanan al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri dan pemimpin sekutu kumpulan itu di Yaman menjadi punca kedutaan Amerika Syarikat di luar negara ditutup dan amaran perjalanan global dikeluarkan.
Akhbar New York Times dalam edisi onlinenya berkata, komunikasi elektronik minggu lalu mendedahkan al-Zawahiri mengarahkan Nasser al-Wuhayshi, ketua al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), melakukan serangan seawal Ahad lalu.
Cable News Network (CNN) pula melaporkan, Zawahiri menyuruh Wuhaysh melakukan sesuatu menyebabkan pihak berkuasa di sini dan Yaman bimbang serangan pasti berlaku.
Kedutaan ditutup
Berikutan itu, 24 kedutaan Amerika ditutup di seluruh Asia Barat Ahad dengan 19 ditutup sehingga Sabtu ini.
AQAP dilihat sebagai francais rangkaian pengganas paling berkebolehan selepas pemusnahan kepimpinan utama al-Qaeda di Afghanistan dan Pakistan beberapa tahun lalu.
Kumpulan berpusat di Yaman itu cuba melakukan serangan di Amerika, termasuk cubaan menjatuhkan sebuah pesawat penumpang pada 2009 oleh seorang lelaki membawa bahan letupan dalam seluar dalam selain komplot menghantar bom disembunyi dalam mesin pencetak.
Amerika sebaliknya melancarkan serangan menggunakan pesawat kawalan jauh di Yaman.
Serangan awal pagi semalam itu kena sebuah kenderaan, mengorbankan empat suspek militan al-Qaeda warga negara itu, kata sumber.
Amaran global
Tidak jelas jika serangan itu dikaitkan dengan amaran global. Pihak berkuasa Amerika jarang bercakap mengenai program serangan pesawat kawalan jauh.
Beberapa sekutu Amerika termasuk Britain, Perancis, Jerman dan Norway turut mengumumkan penutupan beberapa kedutaan mereka di rantau itu.
Ia termasuk 15 kedutaan atau konsulat yang ditutup Ahad lalu selain empat konsulat lain ketika ulang tahun ke-15 serangan al-Qaeda ke atas kedutaan Amerika di Afrika Timur turut diingati.
Pembuat dasar di Washington menggambarkan tahap ancaman sebagai amat serius, dengan sesetengah menyamakannya dengan serangan 11 September 2001. - AF
No comments:
Post a Comment