Wednesday, August 7, 2013

Lolos daripada Abu Sayyaf



Gambar bertarikh 7 Mac lalu menunjukkan Chong Wei Jie (kiri) dan sepupunya, Chong Wei Fei ketika dalam tahanan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina. - Ihsan The Star
MANILA 6 Ogos - Seorang ahli perniagaan Malaysia yang dijadikan tebusan oleh kumpulan Abu Sayyaf, berjaya melarikan diri selepas ditawan selama sembilan bulan.
Ketua polis wilayah Sulu, Abraham Orbita berkata, pasukan polis peronda menemukan mangsa yang dikenali sebagai Chong Wei Jie, 25, berjalan seorang diri dalam keadaan letih dan lesu di kampung Pasil di Indanan, di wilayah Sulu kira-kira pukul 7 pagi ini.
Orbita berkata, mangsa yang merupakan penolong pengurus ladang kelapa sawit, berjaya melarikan diri daripada tawanan kumpulan militan Abu Sayyaf tiga hari lalu, selepas mendapati ikatan pada kaki dan tangannya longgar.
Namun katanya, sepupu mangsa yang merupakan pengurus ladang kelapa sawit, Chong Wei Fei, 33, mati dalam tahanan akibat sakit yang tidak diketahui.
"Mangsa melihat badan sepupunya menggeletar sebelum berhenti bernafas," katanya.
Wei Jie dibawa ke Hospital Wilayah Sulu untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Zamboanga City untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut Orbita, kedua-dua mangsa bersama beberapa pekerja ditahan oleh lima lelaki berpakaian tentera, dua daripadanya bersenjatakan raifal M-16, ketika mereka sedang memeriksa rumah sarang burung di sebuah ladang kelapa sawit di Lahad Datu, Sabah pada 13 November lalu berdekatan Kampung Manakayan.
Anggota militan tersebut mengarahkan kesemua pekerja menyerahkan telefon bimbit dan barangan berharga sebelum melepaskan mereka, manakala Wei Fei dan Wei Jie dibawa ke Sulu menerusi Laut Celebes menggunakan bot laju.
"Militan Abu Sayyaf pada mulanya meminta wang tebusan sebanyak AS$230,000 (RM741,200) daripada keluarga mangsa.
"Namun jumlah tersebut dikurangkan kepada AS$46,000 (RM148,240) selepas ahli keluarga mangsa tidak mampu membayar jumlah yang diminta," katanya.
Militan Abu Sayyaf terkenal dengan kekejaman memenggal kepala tebusan, serangan bom, penculikan dan peras ugut.
Kumpulan berkenaan disenarai sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat, yang membantu tentera Filipina untuk menghapuskan militan tersebut. - AP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130807/lu_01/Lolos-daripada-Abu-Sayyaf#ixzz2bIH26f4M
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment