Wednesday, August 7, 2013

Pilihan raya buang masa

Pilihan raya buang masa
Pemimpin Taliban anggap undian 2014 drama penipuan

Kabul: Pemimpin Taliban, Mullah Omar (gambar) semalam menyifatkan pilihan raya Afghanistan yang bakal diadakan tahun depan sebagai 'membuang masa'.
Kenyataannya sekali gus menjadi cabaran utama kepada usaha antarabangsa untuk memastikan undian itu boleh dipercayai.


Penyertaan kumpulan etnik Pashtun, yang paling banyak memberi sokongan kepada Taliban dilihat sebagai penting kepada kejayaan pilihan raya presiden yang dijadualkan berlangsung pada 5 April.

Undian berkenaan akan menjadi satu ujian penanda aras sejauh mana Afghanistan mencapai kemajuan sejak kejatuhan rejim Taliban pada 2001.

Amerika Syarikat serta penderma asing lain sudah berkata undian terbabit adalah penting kepada masa depan negara itu selepas pengunduran tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tahun depan.

Capai persefahaman
“Mengenai drama penipuan menggunakan nama pilihan raya 2014 ini, rakyat kita tidak akan memenatkan diri mereka sendiri dan tidak akan menyertainya.

“Penyertaan pilihan raya seperti ini tidak lebih daripada hanya sekadar membuang masa,” kata Omar.

Pemimpin yang jarang kelihatan di khalayak ramai itu mengeluarkan kenyataannya melalui internet menjelang sambutan Aidilfitri esok di Afghanistan.

Pun begitu, Omar juga menawarkan harapan untuk keamanan selepas 12 tahun berjuang dengan mengatakan bahawa Taliban yang melindungi al-Qaeda ketika pemerintahan di Afghanistan sejak 1996-2001, tidak akan dapat kuasa penuh.

Mahu terus rundingan

“Taliban tidak memikirkan bagaimana untuk memonopoli kuasa. Sebaliknya, kami percaya dengan langkah mencapai persefahaman dengan penduduk Afghanistan mengenai sebuah kerajaan Afghanistan berlandaskan Islam,” katanya.

Sementara itu, Omar juga berkata, kumpulannya sedia meneruskan rundingan dengan kerajaan Afghanistan dan Amerika Syarikat untuk memulihkan keamanan di negara itu.

Tetapi, dalam emel yang sama, Omar menggesa anggota Taliban terus menentang askar asing di negara itu. - AFP/AP

No comments:

Post a Comment