KATMANDU - Seorang sami Tibet membakar dirinya di sini semalam, yang dipercayai sebagai protes terbaharu terhadap pemerintahan China di negara mereka.
Jurucakap polis, Manoj Chetri berkata, lelaki terbabit melakukan aksi ngeri itu berhampiran stupa Boudhanath di pinggir timur laut Katmandu.
Dia kemudian dibawa ke Hospital Universiti Tribhuwan dalam keadaan kritikal dan hampir keseluruhan tubuhnya terbakar.
Sami itu dilapor membakar dirinya di sebuah lorong jauh daripada orang ramai.
Anggota polis dan penduduk tempatan memadamkan api dengan alat pemadam api dan membawanya ke hospital.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian.
Insiden berkenaan merupakan kejadian bakar diri kedua melibatkan rakyat Tibet di Nepal pada tahun ini.
Seorang penunjuk perasaan rakyat Tibet yang membakar dirinya pada Februari lalu telah meninggal dunia.
Beribu-ribu pelarian Tibet tinggal di Nepal dan kebanyakan mereka menetap sekitar Boudhanath yang dikelilingi biara Buddha.
Lebih 100 penduduk Tibet telah membakar diri sejak 2011 bagi menentang pemerintahan China atau mendesak pemimpin Tibet dalam buangan, Dalai Lama kembali ke Tibet.
China mendakwa Dalai Lama sebagai penghasut beberapa siri bantahan. Namun, beliau menafikan tuduhan tersebut. - AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2bKNqggSF
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment