Monday, August 5, 2013

Tentera Rakyat buat protes aman


Bangkok: Perhimpunan kumpulan Tentera Rakyat memprotes cubaan kerajaan memperkenalkan undang-undang pengampunan dilangsungkan dengan aman berhampiran tugu Raja Rama 6 di depan Taman Lumpini semalam.

Ketua Polis Thailand Adul Saengsingkaew berkata, ada kira-kira 4,000 penunjuk perasaan berhimpun di situ pada tengah hari.


Katanya polis dikerah mengawal keadaan di situ bagi mengelak campur tangan pihak ketiga. “Polis juga diarah mematuhi undang-undang dan tidak menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

“Ada kemungkinan demonstrasi itu merebak ke pelbagai tempat lain dan kami masih memantau keadaan itu,” katanya.


Menurut Adul polis perlu menunggu sama ada perhimpunan itu akan berterusan seperti dirancang hingga 7 Ogos ini dan masih cuba menghubungi pemimpin yang bertanggungjawab.


Sementara itu, Jurucakap Pasukan Ketenteraman Awam Piya Uthaiyo berkata, penganjur perhimpunan menyediakan makanan dan keperluan lain kerana mereka merancang untuk berkumpul sehingga dua atau tiga hari lagi. Daerah Dusit, Phra Nakhon dan Pomprap Sattruphai di Bangkok yang diletakkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri didapati dalam keadaan tenang sementara anggota polis memantau perkembangan di tempat itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Pracha Prasopdee pula berkata, organisasi pentadbiran tempatan di pelbagai wilayah mendapat maklumat bahawa penunjuk perasaan dibayar 300 hingga 500 baht (RM31 hingga RM52) agar menyertai perhimpunan antikerajaan di Bangkok untuk sehari. Katanya, mereka akan diberikan 2,500 baht (RM260) setiap orang jika menyertai bantahan itu selama tiga hingga lima hari. - Agensi

No comments:

Post a Comment