Monday, September 9, 2013

Hindu, Muslim India bertempur

Hindu, Muslim India bertempurPenduduk Muzaffarnagar bertekak dengan anggota polis ketika perintah berkurung selepas pertempuran meletus antara orang Hindu dan Islam. - Foto AP

 Lucknow: Beratus-ratus anggota tentera dikerah untuk menamatkan rusuhan dan pergaduhan antara penduduk Hindu dan orang Islam selepas tiga penduduk kampung maut kerana membantah seorang wanita muda diganggu di utara India.

Sembilan orang terbunuh termasuk seorang wartawan penyiaran India dan jurugambar polis, apabila dua kumpulan itu bertempur menggunakan senapang dan pisau di perkampungan Kawal di Uttar Pradesh, semalam.
Keganasan segera merebak ke perkampungan berhampiran di daerah Muzaffarnagar, kelmarin.


“Perintah berkurung dikuatkuasakan di tiga kawasan dilanda rusuhan di Muzaffarnagar. Keadaan masih tegang,” kata ketua Jabatan Dalam Negeri, R M Srivastava.

Periksa pintu ke pintu

Anggota tentera memeriksa pintu ke pintu untuk mencari dan merampas senjata.
Perintah berjaga-jaga diisytiharkan untuk keseluruhan wilayah Uttar Pradesh yang mempunyai 200 juta penduduk.
Pertempuran meletus kelmarin selepas beribu petani Hindu mengadakan mesyuarat di daerah Kawal untuk menuntut keadilan dalam pembunuhan tiga lelaki pada 27 Ogos lalu selepas membantah kejadian seorang wanita dimaki hamun.

Menteri Kebajikan Minoriti negeri itu, Mohammad Azam Khan, berkata sesetengah yang hadir dalam mesyuarat itu memberi ucapan menggesa penduduk Islam dibunuh.

Petani diserang ketika mereka kembali ke rumah selepas mesyuarat, kata pegawai polis kanan Arun Kumar.

“Serangan nampaknya dirancang dengan baik. Sesetengah penyerang bersenjatakan raifal dan pisau tajam,” kata Kumar.

Tembakan senjata api dilaporkan di beberapa kawasan perkampungan. Dalam tempoh beberapa jam, pertempuran meletus di perkampungan berhampiran, kata Kumar.

Seorang pemimpin parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata berkata ketegangan memuncak sejak tiga orang dibunuh di sebuah kedai teh, 27 Ogos lalu.

“Jika pembunuh ditangkap, situasi mungkin masih boleh dikawal,” kata Vijay Bahadur Pathak.

Uttar Pradesh menjadi tempat pergaduhan kaum terburuk India pada Disember 1992 selepas samseng Hindu membakar masjid kurun ke-16, Babri di Ayodhya.

Kerajaan India memberi amaran bahawa negara itu menyaksikan satu peningkatan keganasan masyarakat, dengan 451 insiden dilaporkan pada tahun ini, berbanding 410 pada 2012.

Bulan lalu, keganasan kaum menyaksikan dua maut dan 22 lagi cedera di sebuah kampung di Bihar, timur Uttar Pradesh. Keganasan juga dilaporkan meletus di daerah Shamli dan Kashmir.

AP

No comments:

Post a Comment