Monday, September 9, 2013

Rakyat Tunisia desak kerajaan berundur



ORANG ramai mengadakan tunjuk perasaan mendesak kerajaan supaya berundur di Tunis, Tunisia kelmarin.


TUNIS - Berpuluh-puluh ribu rakyat Tunisia kelmarin menyertai bantahan besar-besaran untuk mendesak kerajaan yang didominasi parti Islam berundur.
Protes yang dianjurkan oleh gabungan parti pembangkang, Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) menandakan genap 40 hari tempoh berkabung sejak tokoh pembangkang, Mohammed Brahmi dibunuh.
Mohammed yang dibunuh di hadapan keluarganya mengheret Tunisia ke dalam krisis politik dan mendorong berpuluh-puluh wakil rakyat pembangkang menarik diri daripada kerajaan campuran.
Insiden terbabit turut menyebabkan rancangan membentuk perlembagaan baharu negara itu terbantut.
Pada Jumaat lalu, NSF mengumumkan bahawa mereka akan memulakan mogok lapar hingga tuntutan mereka dipenuhi.
"Kami berazam akan meneruskan perjuangan untuk mengambil alih negara daripada keadaan malang disebabkan oleh mereka yang berkuasa," kata pemimpin sebuah parti pembangkang utama, Nida Tunis, Beji Caid Essebsi.
Tunisia pernah mencetuskan gelombang kebangkitan pro-demokrasi ketika rakyat negara itu bangkit menggulingkan bekas Presiden Zine El Abidine Ben Ali pada Januari 2011,
Namun, peralihan Tunisia kepada sebuah negara demokrasi tidak terlaksana.
NSF menuntut kerajaan dikuasai parti Islam, Ennahda berundur segera ekoran kegagalan menjamin keselamatan dan menguruskan ekonomi.
Bagaimanapun, Ennahda menawarkan untuk membubarkan kerajaan selepas empat minggu bagi memastikan kerajaan sempurna dan badan yang menganjurkan pilihan raya dapat berfungsi dengan baik.
Pembangkang sebelum ini mengadakan beberapa siri bantahan sejak kematian Mohammed namun, kelmarin merupakan bantahan terbesar pernah dianjurkan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2eLdSj13z 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment