Saturday, September 28, 2013

Nur Misuari akan didakwa


Sebahagian daripada anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang ditahan tentera Filipina dalam operasi pembersihan kumpulan pemisah tersebut di Zamboanga City, Filipina, semalam. - REUTERS
ZAMBOANGA 27 Sept. - Jabatan Kehakiman Filipina, hari ini akan mengemukakan dakwaan terhadap ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari atas kesalahan melakukan pemberontakan, ekoran serangan kumpulan bersenjata itu ke atas bandar Zamboanga pada pertengahan bulan ini.
Jabatan itu berkata, Nur Misuari akan didakwa di bawah Akta Republik 9851 atau Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa berhubung melancarkan serangan di bandar Zamboanga yang menyaksikan lebih 100 orang maut.
Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima telah menghantar pasukan khas pendakwa raya ke bandar Zamboanga bagi menguruskan proses memfailkan dakwaan ke atas Misuari dan anggota MNLF yang terlibat melancarkan serangan tersebut.
Presiden Benigno Aquino III, sebelum ini berkata, kerajaan mempunyai saksi yang boleh membuktikan Misuari terlibat dalam serangan MNLF di Zamboanga yang berlanjutan lebih dua minggu.
Sementara itu, tentera Filipina, semalam menahan sekurang-kurangnya 70 anggota MNLF dan menembak mati enam yang lain, ketika kumpulan bersenjata itu cuba menawan beberapa perkampungan di bandar ini.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, kebanyakan anggota MNLF yang ditahan berada dalam keadaan keletihan dan kekurangan peluru.
Katanya, kesemua mereka ditahan atau menyerah diri ketika pertempuran di beberapa perkampungan di tepi pantai yang mereka tawan sejak 9 September lalu selepas tentera mematahkan serangan mereka ke atas Zamboanga.
Menurut Zalaga, tentera perlu membersihkan sepenuhnya kawasan perkampungan itu daripada kumpulan bersenjata MNLF, sebelum mengisytiharkan insiden serangan di bandar itu berakhir.
"Sasaran utama kini ialah menahan komander kumpulan tersebut, Habier Malik dan beberapa pengikutnya yang tidak diketahui jumlahnya.
"Pada dasarnya mereka telah pun ditewaskan dan kumpulan itu kini tidak lagi memiliki peluru, makanan dan semangat untuk berperang tetapi mereka masih perlu ditahan," tegas Zalaga.
Setakat ini, tentera berjaya membunuh 138 anggota kumpulan MNLF dengan 162 lagi ditahan atau menyerah diri dalam operasi tentera menumpaskan kumpulan bersenjata itu.
Tentera Filipina dalam pada itu berjaya menyelamatkan kumpulan tebusan terakhir yang ditawan oleh kumpulan bersenjata MNLF di Zamboanga.
"Kami telah menyelamatkan enam tebusan terakhir, sekali gus menjadikan mangsa tebusan yang telah diselamatkan meningkat kepada 195 orang," ujar Zalaga. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130928/lu_01/Nur-Misuari-akan-didakwa#ixzz2g8Bu7IVV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment