Saturday, September 28, 2013

Tentera selamat tebusan, bunuh 15 pemberontak


BEBERAPA anggota tentera melihat mayat yang dipercayai gerila MNLF di hadapan sebuah kediaman yang musnah di Zamboanga kelmarin.


ZAMBOANGA - Sejumlah tebusan terakhir yang ditawan pemberontak Islam di selatan Filipina berjaya diselamatkan selepas hampir tiga minggu pertempuran berlaku, kata pihak tentera semalam.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, 15 gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang membentuk beberapa kumpulan kecil terbunuh dalam pertempuran malam kelmarin.
"Kami telah menyelamatkan enam tebusan terakhir.
"Kami diberitahu ini merupakan kumpulan tebusan terakhir yang ditawan MNLF. Kami telah menyelamatkan 195 tebusan semuanya," kata Zalaga pada sidang akhbar di sini.
Sebelum ini, beberapa ratus gerila MNLF yang dipimpin oleh Nur Misuari menceroboh dan melakukan serangan di bandar raya ini pada 9 September lalu.
Mereka menjadikan beratus-ratus orang awam sebagai tebusan serta bertempur dengan pasukan keselamatan.
MNLF bertindak demikian kerana menentang rundingan damai Manila dengan kumpulan penentang terbesar di Mindanao, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Sekitar 200 orang termasuk 166 gerila terbunuh dan lebih 100,000 penduduk di bandar pelabuhan di Pulau Mindanao ini terpaksa melarikan diri.
Zalaga berkata, sekitar 300 gerila sudah menyerah diri atau ditangkap.
Menurutnya, beberapa kawasan di bandar ini belum selamat sepenuhnya kerana masih terdapat insiden tembakan dan dua letupan kuat semalam.
Bagaimanapun, Datuk Bandar Zamboanga, Isabelle Climaco-Salazar berkata, sebahagian besar aktiviti di bandar itu pulih seperti biasa dengan kebanyakan pejabat, bank, premis perniagaan dan sekolah dibuka semula.
Perkhidmatan di lapangan terbang dan pelabuhan juga kembali beroperasi. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2g81x38YR 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment