Thursday, November 28, 2013

Demonstrasi semakin berleluasa


Sebahagian penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di pekarangan bangunan Kementerian Tenaga di Bangkok, Thailand, semalam. - REUTERS
BANGKOK 27 Nov. - Perbahasan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, berlangsung buat hari kedua, hari ini ketika tunjuk perasaan antikerajaan mula merebak ke 10 wilayah di negara ini.
Di ibu negara, kira-kira 10,000 penunjuk perasaan meneruskan kemaraan mereka dengan mengelilingi kompleks kerajaan di utara Bangkok dengan kumpulan-kumpulan kecil dilihat mula menggerakkan usaha menawan enam lagi bangunan kementerian lain.
Jumlah penunjuk perasaan meningkat dengan mendadak ketika pemimpin penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berarak memasuki pekarangan pejabat kompleks kerajaan.
Suthep mengetuai kumpulannya berarak ke pusat pejabat yang menempatkan beberapa agensi penting kerajaan termasuk jabatan tanah, imigresen, hasil dan cukai.
"Kami amat yakin dan percaya bahawa kami akan mencapai kemenangan dalam tempoh beberapa hari lagi,'' kata bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand itu kepada media.
Kumpulan kira-kira 1,000 penunjuk perasaan dalam pada itu berarak ke Kementerian Buruh dan kumpulan lain menghala ke Kementerian Tenaga dalam usaha mereka menggulingkan kerajaan pimpinan Yingluck.
Demonstrasi itu walaupun berlangsung dengan aman, membangkitkan kebimbangan berulangnya keganasan tiga tahun lalu yang mengakibatkan lebih 90 orang maut berikutan tindakan kekerasan tentera ke atas kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.
Suthep yang berada dalam kerajaan Thailand selepas peristiwa itu kemudiannya dituduh mengarahkan kekerasan dan beliau kini didakwa kerana membunuh.
Menurut polis, selain Bangkok, tunjuk perasaan turut diadakan di Krabi, Nakhon Si Thammarat, Chumphon, Yala, Ranong, Satun, Songkhla, Pattalung, Surat Thani dan Trang.
Sementara itu, bimbang pertempuran akan berlaku dan seterusnya melemahkan kerajaannya, Yingluck berkata, polis akan meneruskan usaha menjaga keamanan.
"Kerajaan saya tidak akan menggunakan tentera. Ini bukannya 'rejim Thaksin', ini adalah sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi,'' katanya di luar bangunan Parlimen. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131128/lu_02/Demonstrasi-semakin-berleluasa#ixzz2lvGsgXl0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment