Thursday, November 28, 2013

Penunjuk perasaan kepung lima kementerian

AFP 
SEJUMLAH penunjuk perasaan mengibarkan bendera semasa mereka berarak di sebatang jalan raya di Bangkok semalam.


BANGKOK - Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di luar lima buah kementerian Thailand dan 24 dewan semalam untuk meningkatkan tekanan supaya Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan.
Menjelang petang semalam, lebih 13,000 penunjuk perasaan mengepung ibu pejabat Jabatan Siasatan Khas dan kompleks kerajaan yang terletak bersebelahan di sini.
Menurut laporan Bernama, walaupun tunjuk perasaan diadakan secara aman, namun kehadi- ran beribu-ribu pesertanya menjadikan keadaan lalu lintas di Bangkok yang sentiasa sesak menjadi bertambah teruk.
Tiada keganasan dilaporkan setakat ini tetapi para penunjuk perasaan meningkatkan tekanan agar Yingluck meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen. Para penunjuk perasaan itu meminta penjawat awam pulang ke rumah.
Antara kementerian yang dikepung ialah Kementerian Kebudayaan, Kementerian Perdagangan, Kementerian Buruh, Kementerian Sains dan Kementerian Tenaga manakala Kementerian Kewangan masih diduduki penunjuk perasaan.
Bantahan awam itu tercetus sejak bulan lalu bagi membantah rang undang-undang yang bertujuan memberi pengampunan kepada abang Yingluck, Thaksin Shinawatra yang hidup dalam buangan.
"Kami akan berada semalaman di sini. Saya menggesa polis meninggalkan pekarangan kompleks ini," kata ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban di luar Jabatan Siasatan Khas di sini.
Demonstrasi itu berisiko meng- ancam kestabilan Thailand ketika kuasa ekonomi kedua di Asia Tenggara itu mulai kehilangan momentum.
Para penunjuk perasaan itu terdiri daripada penyokong institusi beraja dan kelompok elit tentera.
Mereka menuduh Yingluck menjadi boneka Thaksin.
Popular dalam kalangan penduduk miskin terutama di utara Thailand, Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera tanpa pertumpahan darah pada tahun 2006.
Para penunjuk perasaan itu berasal dari 24 wilayah terutama di selatan Thailand yang menjadi kubu kuat pembangkang, Parti Demokrat.
"Tujuan tunjuk perasaan itu adalah untuk menghapuskan jentera politik Thaksin," kata Suthep.
Menurut agensi berita AFP, para penunjuk perasaan itu meramalkan akan mencapai kejayaan dalam usaha mereka untuk menyingkirkan Yingluck.
Suthep merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan yang disokong tentera tetapi tewas kepada Yingluck pada pilihan raya 2011.
Apabila tiba di bangunan Jaba- tan Siasatan Khas, kumpulan Suthep meniup wisel dan melaungkan perkataan hamba.
Ekoran pusat kompleks kerajaan itu terletak di Chaeng Wattana, tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng, wujud kebimbangan yang para penunjuk perasaan akan cuba berarak ke situ.
Kira-kira 3,000 orang berkumpul di Kementerian Tenaga, 700 lagi di Kementerian Perdagangan dan 200 orang di Kementerian Industri, kata polis.
Protes yang berlangsung di beberapa wilayah di Thailand pula melibatkan 20 orang di Narathiwat dan 4,000 lagi di Surat Thani.
Dalam pada itu, Thaksin yang kini hidup dalam buangan di luar negara bagi mengelak daripada hukuman penjara kerana kesalahan rasuah, masih mempunyai ramai penyokong di Thailand
Beliau memenangi sokongan penduduk miskin di pedalaman yang memilihnya sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2001 dan 2005.
Di Pattani, kira-kira 500 orang yang menentang Thaksin berkumpul di hadapan Medan Budaya sebelum bergerak ke Pejabat Gabenor Wilayah Pattani sambil membawa bunga, meniup wisel dan mengibar bendera Thailand.
Mereka cuba menyerahkan bunga kepada seorang pegawai kanan kerajaan tetapi tidak berjaya kerana dihalang oleh para pegawai keselamatan daripada memasuki pejabat berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2luFzm579 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment