Thursday, November 28, 2013

Pesawat AS masuki zon pertahanan udara


Gambar fail bertarikh 26 Mei 2010, menunjukkan pesawat B-52 milik Amerika Syarikat (AS) semasa latihan penerbangan X-51A WaveRider di Washington. - AFP
WASHINGTON 27 Nov. - Dua buah pesawat jenis B-52 milik Amerika Syarikat (AS) dikesan terbang di kawasan pertikaian di Laut China Timur semalam tanpa memaklumkan kepada Beijing, tindakan yang disifatkan sebagai mencabar keputusan China memperkenalkan zon pertahanan udara.
Kehadiran pesawat pengebom itu memberi isyarat jelas bahawa Washington membantah keputusan yang dianggap sebagai satu tindakan agresif China di rantau tersebut.
Pesawat tanpa senjata itu berlepas mengikut jadual penerbang dari Guam kelmarin dan menurut pegawai pertahanan, ia merupakan sebahagian daripada rutin latihan.
"Malam semalam kami mengadakan latihan yang sudah lama dirancang, latihan ini melibatkan dua buah kapal terbang yang berlepas dari Guam sebelum kembali semula.
"Tiada jadual penerbangan diberikan kepada China dan misi tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah,'' kata jurucakap Pentagon, Kolonel Steven Warren kepada pemberita.
Pesawat berkenaan terbang kurang sejam di Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) dan tidak bertembung dengan mana-mana pesawat milik China.
Di bawah peraturan yang diisytiharkan oleh China, setiap pesawat diminta untuk menyediakan pelan penerbangan, mengesahkan kewarganegaraan dan mengekalkan komunikasi radio dua hala bagi membolehkan mereka mendengar sebarang arahan daripada pihak berkuasa China.
Jepun, AS dan beberapa buah negara menolak pengenalan zon udara China itu sejak diperkenalkan minggu lalu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131128/lu_07/Pesawat-AS-masuki-zon-pertahanan-udara#ixzz2lvGObECt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment