Monday, December 2, 2013

30,000 penunjuk perasaan giatkan ‘rampasan kuasa’ rakyat


Bangkok: Kira-kira 30,000 penunjuk perasaan melancarkan “rampasan kuasa rakyat” semalam dengan menyerbu beberapa lagi agensi kerajaan dan mencetuskan pertempuran dengan pihak berkuasa.

Mereka juga berjaya mengambil alih stesen penyiaran dan memaksa perdana menteri melarikan diri bangunan polis yang menjadi tempat perlindungannya.


Pihak berkuasa melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang membaling batu dan bom petrol dalam demonstrasi yang melumpuhkan Bangkok.



Pertempuran di antara polis dan penunjuk perasaan turut menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 54 cedera.


Tunjuk perasaan besar-besaran itu turut memaksa Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berpindah ke lokasi rahsia dari bangunan tempat dia merancang untuk memberikan wawancara media, manakala ratusan lagi merampas kuasa di stesen televisyen PBS Thai, mengibarkan bendera sambil meniup wisel.


Mengisytiharkan semalam sebagai “Hari Kemenangan” pemimpin penunjuk perasaan menggesa penyokong merampas 10 pejabat kerajaan, enam stesen televisyen, ibu pejabat polis dan pejabat perdana menteri yang dikatakan mereka sebagai “rampasan kuasa rakyat”. Sementara itu polis berkata, penunjuk perasaan berkumpul di sekurang-kurangnya lapan lokasi dan polis menggunakan gas pemedih mata dan tembakan meriam air di tiga daripada lokasi terbabit. Jurucakap polis kebangsaan, Piya utayo berkata, pasukan keselamatan dihantar ke kompeks kerajaan yang dikuasai penunjuk perasaan sejak Khamis dan kementerian kewangan dikuasai sejak Isnin lalu.

No comments:

Post a Comment