Monday, December 2, 2013

Yingluck larikan diri ke destinasi rahsia

SEORANG penunjuk perasaan antikerajaan membaling bom api ke arah polis pencegah rusuhan semasa mereka menyerbu Rumah Kerajaan di Bangkok, Thailand semalam.


BANGKOK - Beratus-ratus penunjuk perasaan yang mahu menggulingkan kerajaan Thailand menyerbu sebuah kelab polis tempat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berada di sini pagi semalam, sekali gus memaksa beliau meninggalkan tempat tersebut menuju ke satu lokasi rahsia, kata seorang pegawai kerajaan.
Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata di pekarangan Rumah Kerajaan di sini selepas huru-hara melibatkan pertempuran jalanan berlaku di tempat-tempat lain di kota raya ini yang meragut dua nyawa dan menyebabkan sekurang- kurangnya 45 orang cedera.
Ketika bandar raya ini bersiap sedia menghadapi cubaan pembangkang menggulingkan kerajaan semalam, beribu-ribu penunjuk perasaan mula berkumpul di beberapa lokasi strategik di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang penyokong kerajaan mati ditembak semalam dengan angka demonstrasi yang kini berlanjutan selama seminggu meningkat kepada dua orang.
Tunjuk perasaan itu bertujuan untuk menggulingkan Yingluck dan menamatkan pengaruh keluarganya selama lebih sedekad dalam senario politik Thailand.
Polis meminta bantuan tentera untuk melindungi bangunan-bangunan kerajaan selepas pertempuran meletus antara penyokong dengan penentang Yingluck dan abangnya, bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.
Sebelum ini, sebanyak 70,000 penyokong kerajaan yang terdiri daripada anggota kumpulan Baju Merah berkumpul di sebuah stadium di sini.
Pertempuran itu adalah yang terbaharu dalam konflik dalaman antara penyokong institusi beraja dan golongan kelas pertengahan dengan penyokong Thaksin.
Kebanyakan penyokong bekas perdana menteri itu terdiri daripada penduduk berpendapatan rendah dan miskin yang berasal dari beberapa buah wilayah di utara Thailand.
Menurut satu kenyataan badan penyiaran kerajaan, PBS, ibu pejabatnya telah ditawan penunjuk perasaan manakala 3,000 penunjuk perasaan turut berkumpul di hadapan ibu pejabat polis di sini.
Lima pusat beli-belah telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam pada itu, beribu-ribu penyokong kumpulan Baju Merah mula menaiki bas untuk kembali ke kampung halaman mereka di utara Thailand selepas rancangan mereka untuk berarak dibatalkan dalam usaha meredakan ketegangan.
Namun, tindakan tersebut dilihat gagal untuk menamatkan krisis politik yang kini melanda Thailand. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2mGt1cKk4 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment