Monday, December 2, 2013

Pejabat PM Thailand diserbu


Sebahagian penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di luar Ibu Pejabat Polis Kebangsaan ketika polis antirusuhan berkawal di bahagian dalam kawasan bangunan tersebut di Bangkok, semalam. - AFP
BANGKOK 1 Dis. - Kira-kira 30,000 penunjuk perasaan antikerajaan, hari ini meningkatkan bantahan dengan menyerbu dan mengepung beberapa agensi kerajaan serta sebuah badan penyiaran, selain memaksa Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dibawa keluar dari kompleks polis di sini.
Yingluck yang melawat kompleks polis itu pagi ini terpaksa diiring keluar selepas kawasan itu diserbu penunjuk perasaan dan dibawa ke lokasi yang tidak dinyatakan.
Polis juga bertindak melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang melempar batu dan bom petrol ketika mereka cuba menyerbu sekatan jalan raya ke Bangunan Kerajaan yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, di sini.
Demonstrasi besar-besaran itu melumpuhkan sebahagian kota Bangkok, selepas pertempuran jalanan berlaku di ibu negara ini sejak malam tadi yang menyaksikan tiga orang maut dan sekurang-kurangnya 45 orang yang lain cedera.
Laman web akhbar The Nation memetik jurucakap polis, Jeneral Veerapong Chiewpreecha sebagai berkata, sebanyak lima orang terbunuh di dalam kampus Universiti Ramkhamhaeng dalam pertempuran yang berlarutan sejak malam tadi hingga awal pagi ini.
Seorang anggota kumpulan Baju Merah yang menyokong kerajaan, mati ditembak awal pagi ini, sehari selepas seorang pelajar berumur 21 tahun terbunuh akibat terkena tembakan ketika penunjuk perasaan antikerajaan meningkatkan demonstrasi mereka untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Yingluck.
Laman web akhbar Bangkok Post melaporkan, pelajar itu, Taweesak Phokaew, 21, terkena dua das tembakan malam tadi apabila anggota kumpulan Baju Merah dan penunjuk perasaan antikerajaan bertempur berdekatan stadium Rajamangala yang menjadi tempat kira-kira 70,000 anggota kumpulan Baju Merah berkumpul di sini.
Bangkok Post turut melaporkan seorang anggota kumpulan Baju Merah, Wissanu Phaophu, 26, turut terbunuh akibat terkena tembakan di dada.
Sementara itu, polis meminta bantuan tentera bagi melindungi bangunan-bangunan kerajaan selepas pertempuran berlaku.
Ketua penunjuk perasaan mahu mengepung 10 pejabat kerajaan, enam stesen televisyen, ibu pejabat polis dan Bangunan Kerajaan yang menempatkan pejabat Perdana Menteri.
Ibu pejabat badan penyiaran Thai PBS di sini dikepung oleh beratus-ratus penunjuk perasaan, manakala sekurang-kurangnya 3,000 penunjuk perasaan berkumpul di hadapan ibu pejabat polis di sini.
Seorang ketua kumpulan Baju Merah, Jatuporn Promphan pula berkata, empat anggotanya terbunuh, namun Reuters hanya mengesahkan seorang sahaja maut dikenali sebagai Viroj Kemnak, 42 tahun.
Jurucakap sebuah pusat kecemasan kerajaan, Erawan berkata, 45 orang cedera dalam pertempuran itu.
Beribu-ribu anggota kumpulan Baju Merah mula pulang menggunakan bas selepas perhimpunan mereka dibatalkan bagi mengurangkan ketegangan. - REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131202/lu_03/Pejabat-PM-Thailand-diserbu#ixzz2mHBXPW8b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment