Georgetown: “Sukar untuk mempercayai apa yang terjadi, namun pengunjung yang datang ke kedai minum bapa menggelarkan saya bayi tsunami,” kata S Tulaashi, yang berusia 22 hari ketika dihanyutkan ombak besar tsunami yang melanda Malaysia termasuk pantai Miami di Pulau Pinang pada 26 Disember 2004 dan kini berusia sembilan tahun.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, Tulaashi ketika itu tidur di atas tilam dalam sebuah bilik di kedai milik bapanya manakala ibunya yang masih dalam pantang, berada di bilik bersebelahan.
Tulaashi dihanyutkan ke laut bersama-sama tilam berkenaan selama kira-kira 15 minit sebelum ditolak semula ke pantai tanpa sebarang kecederaan.
Kanak-kanak itu yang kini bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Azad di Kebun Bunga berkata, dia sering terpinga-pinga apabila pengunjung dari luar negara datang semata-mata mahu melihatnya walaupun kejadian hitam yang menimpa keluarganya itu sudah hampir sembilan tahun berlalu.
“Saya lebih banyak habiskan masa di kedai ayah dan boleh dikatakan setiap tahun ada pelancong luar serta orang tempatan datang untuk melihat serta bergambar bersama saya, kononnya saya bayi ajaib yang terselamat daripada tsunami.
“Saya bersyukur kerana tuhan menyelamatkan saya tanpa kecederaan dan ia menjadi pengajaran buat saya setiap kali ayah menceritakan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Batu Ferringhi, di sini, semalam.
Sementara itu, bapanya, A Suppiah, 64, berkata walaupun kejadian yang menimpa anak bongsunya itu berlaku sekelip mata, namun dia masih ingat dengan jelas terutama tarikh dan masa kejadian setiap tahun.
Suppiah berkata, dia dan isteri, L Annalmary, 51, mengambil masa lebih sebulan untuk pulih daripada igauan ngeri yang menimpa mereka sekeluarga.
“Saya tidak sedar Tulaashi di bawa arus dan hanya sedar apabila nampak dia bersama tilam ditolak ke tepi pantai.
“Tragedi hitam yang menimpa keluarga tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Menurutnya, selepas kejadian itu, dia hilang punca pendapatan apabila kedainya musnah dan perniagaannya beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu baik, namun terpaksa meneruskannya kerana tidak mempunyai sumber pendapatan lain.
“Saya usahakan kedai ini sejak 1990 dan selepas kejadian itu saya kerugian lebih RM60,000, malah terpaksa berhutang dengan kawan sebanyak RM40,000 kerana tiada bantuan perniagaan kami terima selepas kejadian, ” katanya dengan nada sedih.
SUPPIAH (kanan) dan Annalmary serta Tulaashi melihat laporan akhbar tempatan mengenainya ketika dihanyut tsunami.
No comments:
Post a Comment