Wednesday, December 25, 2013

Misi saya tercapai: Edward Snowden


Washington: Enam bulan selepas kali pertama membocorkan rahsia Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat Edward Snowden semalam mengisytiharkan bahawa dia sudah mencapai misinya.

Dalam wawancara pertama secara langsung dengan akhbar The Washington Post sejak dia berlindung di Russia, Snowden berkata, dia berpuas hati kerana orang ramai kini sudah mengetahui mengenai kegiatan pengintipan kerajaan AS menerusi rekod telefon dan Internet.


“Bagi saya, dari segi kepuasan peribadi, misi sudah tercapai. Saya menang.

“Sebaik saja wartawan menyebarkan maklumat, semua usaha saya sudah tercapai.


“Saya bukan mahu mengubah masyarakat. Saya mahu berikan mereka peluang untuk berubah,” katanya.


Snowden diwawancara di Moscow oleh wartawan The Washington Post, Barton Gellman, orang pertama memperoleh rahsia yang dibocorkan bekas kontraktor NSA itu.

Pendedahan pertama mengenai pengintipan Amerika Syarikat itu diterbitkan kali pertama oleh The Washington Post dan the Guardian Jun lalu.

Pendakwa raya Amerika Syarikat sudah memfailkan aduan jenayah terhadap Snowden, mendakwanya dengan tuduhan pengintipan dan mencuri harta kerajaan.

Bagaimanapun, Snowden, 30, berkata, tindakannya itu bukan disebabkan dia tidak setia.

“Saya bukan berniat untuk menjatuhkan NSA. Sebaliknya, saya berusaha untuk meningkatkan agensi itu. Saya masih bekerja dengan NSA kini tanpa mereka menyedarinya,” kata Snowden. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

No comments:

Post a Comment