Wednesday, December 25, 2013

Korea Utara didakwa aktifkan kompleks nuklear


Gambar fail bertarikh 6 Ogos tahun lalu, menunjukkan kawasan kompleks nuklear Yongbyon yang terletak di barat laut Korea Utara. - AGENSI
SEOUL 24 Dis. - Korea Utara dipercayai mahu mengaktifkan semula kompleks nuklear utamanya secara meluas selepas Pyongyang berikrar untuk memperkukuhkan program persenjataan negara itu.
Penganalisis dari Institut Universiti Amerika Syarikat (AS)-Korea Johns Hopkins, Nick Hansen berkata, berdasarkan imej satelit yang diperoleh baru-baru ini, kompleks nuklear Yongbyon dilihat mula menghasilkan saluran bahan api untuk digunakan dalam reaktor plutonium.
Hansen berkata, analisis yang dilakukan terhadap imej berkenaan juga mengenal pasti sebuah loji bahan api untuk menjana reaktor plutonium berkuasa 5 megawat yang dibuka semula awal tahun ini.
"Saya mendapati bumbung sebuah bangunan baharu diselaputi jelaga, sekali gus menunjukkan proses meleburkan besi dilakukan dalam kemudahan tersebut.
"Proses pemanasan itu mungkin melibatkan bahan besi selain kesan putih yang dipercayai asid hydrofluoric (campuran hidrogen dan fluorida) yang sering digunakan bagi menghasilkan saluran bahan api," katanya melalui laman institut terbabit, 38 North.
Hansen menambah, sebuah kawasan berhampiran disyaki menjadi tempat buangan berdasarkan imej sejumlah bahan berwarna kelabu dipercayai abu yang terhasil daripada proses pembuatan saluran bahan api.
"Pendedahan tentang kemudahan terbabit menunjukkan satu usaha besar-besaran dilakukan oleh Korea Utara untuk menghidupkan semula kompleks nuklear Yongbyon," katanya.
Negara komunis itu menjalankan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu yang didakwa paling besar berbanding ujian pada 2006 dan 2009.
Dua bulan kemudian, Pyongyang mengumumkan untuk membuka semula kompleks nuklear Yongbyon yang terletak di barat laut negara itu selepas ditutup sejak 2007 bagi meningkatkan jumlah senjata atom.
Korea Utara ketika ini mempunyai simpanan bahan nuklear, kebanyakannya plutonium yang dianggarkan boleh menghasilkan antara enam hingga 10 bom. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131225/lu_09/Korea-Utara-didakwa-aktifkan-kompleks-nuklear#ixzz2oRMlJNE7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment