Sunday, January 26, 2014

Aplikasi beri maklumat selamat serangan bom

Aplikasi beri maklumat selamat serangan bomBeirut: Penduduk Lubnan kini memiliki satu aplikasi telefon bimbit yang direka khusus untuk memaklumkan kepada keluarga atau orang tersayang bahawa mereka terselamat sekiranya berlaku sebarang serangan bom berikutan meningkatnya kejadian ganas di sana.

“I am Alive (Saya masih hidup)” adalah ciptaan seorang pelajar sarjana Lubnan yang tinggal di Paris, Sandra Hassan, 26 di mana ia membolehkan pengguna segera mengirimkan mesej standard twitter selepas sesuatu serangan bom berlaku.

“Saya masih hidup!” dengan hashtag #Lubnan dan #LatestBombing.

Sandra memuatnaik aplikasi telefon pintar berkenaan berikutan satu serangan bom bunuh diri di selatan Beirut di Haret Hreik yang membunuh empat penduduk.


Bergegas dapatkan telefon

“Setiap kali ada letupan atau kejadian seumpamanya di Lubnan, kita semua bergegas mendapatkan telefon untuk memaklumkan keluarga atau rakan bahawa kita masih hidup atau bekerja di kawasan terbabit di mana kita perlu berhubung dengan mereka,” kata Sandra kepada AFP.
Masalah berkenaan menjadi lebih buruk kepadanya kerana beliau tinggal jauh dari keluarga dan rakan di Lubnan.

“Selepas letupan pada Selasa lalu, saya ciptakan dan siarkan aplikasi ini sebagai jenaka, bahawa dalam situasi berkenaan kita memerlukan aplikasi ini yang amat praktikal,” katanya.

Aplikasi untuk telefon Android itu bagaimanapun masih baru dan belum memiliki jumlah pengguna yang sudah memuat turunnya.

Tetapi Sandra berkata beliau terkejut dengan minat yang ditunjukkan terhadap ciptaannya itu untuk keadaan di Lubnan.

Malah beliau turut berjanji kepada pengguna aplikasi terbabit bahawa beliau turut merancang satu aplikasi baru untuk membolehkan ahli politik Lubnan terus memberi komen mereka apabila berlaku serangan.

Lubnan bukan asing dengan keganasan apabila ia mengalami perang saudara selama 15 tahun yang berakhir pada 1990 dan satu siri pembunuhan politik sejak 2005. - AFP

No comments:

Post a Comment