Sunday, January 26, 2014

Kerajaan Thailand sedia tangguh pilihan raya


Suthep Thaugsuban bersama penyokongnya ketika menyertai tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok, semalam. - AFP
BANGKOK 25 Jan. - Kerajaan sementara Thailand bersedia menangguhkan pilihan raya umum yang dijadualkan pada mulanya pada 2 Februari ini dengan syarat penunjuk perasaan antikerajaan menghentikan bantahan mereka di ibu negara dengan serta-merta.
Portal berita Bangkok Post yang memetik sumber Pejabat Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra melaporkan, penunjuk perasaan juga perlu berjanji tidak menghalang atau memulaukan pilihan raya baharu jika tarikh asal ditunda.
Menurut laporan itu, Yingluck bersedia berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, yang sebelum ini mendesak agar pilihan raya itu ditangguhkan ekoran kebimbangan proses pengundian boleh terganggu oleh tunjuk perasaan.
Semalam, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kerajaan dan suruhanjaya terbabit mempunyai kuasa untuk menangguhkan pilihan raya di negara ini.
Keputusan tersebut, sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Yingluck yang menetapkan 2 Februari ini sebagai tarikh pilihan raya, ketika tunjuk perasaan antikerajaan semakin memuncak di Bangkok.
Proses pengundian awal dijadual bermula esok, namun tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini oleh Yingluck berhubung isu penangguhan pilihan raya itu oleh mahkamah.
Sementara itu, ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berjanji penyokongnya tidak akan mengganggu proses pengundian awal itu.
Jelas Thaugsuban, penunjuk perasaan tidak akan menghalang orang ramai untuk turun mengundi, namun bantahan akan tetap diteruskan di 50 pusat pengundian di ibu negara.
"Kami akan memujuk orang ramai yang ingin mengundi agar menyertai tunjuk perasaan bagi mendesak pembaharuan dilaksanakan di Thailand," katanya kepada Bangkok Post.
Bagaimanapun beliau tidak memberi sebarang kenyataan berhubung kesediaan kerajaan untuk menangguhkan pilihan raya jika tunjuk perasaan dihentikan. - DPA/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140126/lu_03/Kerajaan-Thailand-sedia-tangguh-pilihan-raya#ixzz2rRxPhnAr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment