PARIS 24 Jan. - Presiden Perancis, Francois Hollande dijangka mengumumkan perpisahannya dengan teman wanitanya, Valerie Trierweiler, hari ini ekoran pendedahan media tentang hubungan sulitnya dengan seorang pelakon.
Akhbar Journal du Dimanche melaporkan Trierweiler, 48, yang menjadi teman wanita Hollande sejak 2006, merancang ke India untuk lawatan amal dan pemimpin Perancis itu mahu menyelesaikan hubungan mereka sebelum Trierweiler berlepas ke India.
"Kenyataan akhbar dari Istana Elysee (kediaman Presiden) dijangka disiarkan pada bila-bila masa hari ini," jelas akhbar tersebut.
Seorang jurucakap Presiden yang dihubungi enggan mengulas lanjut tentang laporan itu dan jurucakap Trierweiler turut berbuat demikian.
Trierweiler, seorang penulis dengan majalah Paris Match, tidak berkahwin dengan Hollande tetapi dianggap memegang tugas sebagai Wanita Pertama Perancis pada majlis rasmi sejak Hollande dipilih sebagai Presiden pada Mei 2012.
Dua minggu lalu, majalah hiburan Closer menyiarkan laporan tentang skandal Hollande dengan pelakon tempatan, Julie Gayet.
Majalah itu turut mendakwa Hollande memakai topi keledar dan menaiki skuter untuk menemui Gayet pada waktu malam.
Presiden berusia 59 tahun itu mempunyai empat orang anak dalam hubungannya dengan pemimpin kanan Parti Sosialis, Segolene Royal, sebelum ini.
Royal mengumumkan berpisah dengan Hollande selepas beliau tewas di tangan Nicolas Sarkozy pada pilihan raya Presiden 2007. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140126/lu_06/Presiden-Perancis-teman-wanita-berpisah#ixzz2rRxBmIAl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment