Sunday, January 26, 2014

'Terus perjuangkan Islam'

'Terus perjuangkan Islam'Orang ramai mengiringi jenazah Allahyarham Harun untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Persendirian Kampung Padang Ujib, Manir, Kuala Terengganu, semalam. Kuala Terengganu: “Teruskan perjuangan Islam.” Itu pesanan keramat terakhir Datuk Harun Taib kepada anak sulungnya, Hilmi Harun, sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal pagi semalam.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu meninggal dunia pada usia 71 tahun, jam 12.17 pagi, akibat komplikasi penyakit kencing manis yang semakin serius sejak seminggu lalu.

Hilmi, 36, yang menyifatkan pemergian bapanya ke rahmatullah sebagai kehilangan sebutir permata pejuang Islam berkata, keadaan Allahyarham mula tidak stabil sejak seminggu lalu kerana mengalami luka yang mula merebak hingga menyebabkan jangkitan kuman.


“Beberapa hari sebelum dimasukkan ke hospital, penyakit kencing manis dihidapinya semakin serius dan tidak stabil. Allahyarham mengalami luka yang kemudian merebak dan menyebabkan jangkitan kuman kepada organ dalaman termasuk buah pinggang.

“Kami sekeluarga reda dengan kematian bapa dan pemergian beliau adalah sebagai seorang pejuang Islam. Sudah sampai masa bapa ‘berehat’ sebagai seorang pejuang Islam. Seluruh anak didik Allahyarham akan menyambung perjuangan Islam yang dipelopori dan diasuh oleh beliau.

“Malah, sebelum meninggal dunia, Allahyarham juga sempat berpesan kepada saya supaya terus teguh dan tabah dalam memperjuangkan Islam dan saya akan pegang amanatnya itu,” katanya sambil menambah keadaan kesihatan bapanya kurang stabil sejak 2010 dan pernah mengalami minor strok.

Perkuburan persendirian
Jenazah Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir selama lima penggal selamat dikebumikan di tanah perkuburan persendirian milik keluarganya di Kampung Padang Ujib, Manir, di sini, jam 11 pagi semalam.

Terdahulu jenazah Allahyarham yang dikenali sebagai pemimpin PAS paling lantang memperjuangkan hak Islam termasuk isu kalimah Allah dan hudud, disembahyangkan di Markaz Tarbiyah PAS (Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah) di Kubang Lembek, Manir, jam 10 pagi.

Lebih 5,000 orang termasuk pemimpin kanan PAS dan pemimpin Barisan Nasional (BN) menziarahi dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan dengan berjalan kaki tiga kilometer.

Antara pemimpin yang hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Suasana di tanah perkuburan juga sayu dengan esak tangis hadirin yang meratapi pemergian Allahyarham. Malah, Abdul Hadi yang terlalu sebak dengan kehilangan rakan seangkatannya itu dilihat beberapa kali menyeka air mata.

Presiden PAS itu enggan ditemu bual media kerana terlalu sedih.

No comments:

Post a Comment