Saturday, March 8, 2014

Calon gantian Anwar diumum dalam masa terdekat


JAMILAH HAMZAH
8 Mac 2014


SHAH ALAM - Susulan Mahkamah Rayuan mensabitkan kesalahan Ketua Pembangkang yang juga calon PKR di Dun Kajang meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan PR akan mengumumkan calon gantian  dalam masa terdekat.

Menurutnya, PR telah mempunyai senarai calon namun belum diputuskan untuk menggantikannya di PRK Dun Kajang, pada 23 Mac ini.

"Kita akan mesyuarat selepas ini, kita akan umumkan secepat mungkin.

"Kita ada banyak tapi kita belum putuskan lagi," katanya pada sidang media di Konvensyen PR Kali Ke-5, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful, enam tahun lalu dan membenarkan ikat jamin RM10, 000.

Semasa membenarkan rayuan pihak pendakwaan, Hakim Datuk Balia Yusof Wahi berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf dalam membuat penghakimannya bahawa sampel DNA telah dicemari.

Mahkamah Rayuan telah memberi tempoh sejam kepada peguam Karpal Singh untuk menyediakan mitigasi bagi Anwar, sebelum mahkamah bersidang semula pada jam 6.15 petang ini untuk menjatuhkan hukuman.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu berkata senarai calon ganti itu juga ada kategori muda dan lama sekaligus mempunyai calon yang lebih menonjol daripada BN pada pilihan raya kecil itu.

"Sampai masa PR lebih menonjol daripada BN...kita ada calon muda dan lama bergantung pada masyarakat Kajang," katanya.

Selain itu, Anwar juga berkata sentimen turun ke jalan raya untuk bersolidariti juga akan diputuskan pada mesyuarat PR.

No comments:

Post a Comment