Dr Mahathir |
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa hairannya berhubung kegagalan menjejak pesawat MH370 walaupun dibantu pelbagai usaha dan teknologi kuasa-kuasa besar.
Menurutnya, dengan teknologi secanggih negara-negara yang jauh lebih membangun dari Malaysia, mereka sebenarnya mampu mengesan pergerakan sekecil manusia walau di mana mereka berada, namun lokasi pesawat MH370 masih tidak dapat dikesan dan kekal misteri.
"Saya melihat perkembangan ini (misi mencari dan menyelamat) dan berasa hairan kerana dalam dunia yang serba moden dan canggih dengan pelbagai teknologi, kita masih gagal mengesan pesawat yang sebesar 63 meter itu.
“Sedangkan dengan teknologi yang sama, kita boleh mengesan manusia walaupun seseorang itu berdiri di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari akhbar Berita Harian.
Tambah beliau lagi, jika sesebuah pesawat terhempas di lautan atau di darat, sudah pasti satelit atau teknologi canggih milik kuasa-kuasa besar dunia mampu mengesan serpihan pesawat terbabit.
“Hari ini masuk hari ke-11 bagi misi pencarian pesawat MH370, saya amat sedih dengan kejadian yang berlaku dan saya faham perasaan sedih yang dihadapi oleh keluarga kerana sehingga ke hari ini kita tidak tahu nasib yang menimpa penumpang serta kru pesawat itu,” katanya lagi.
Pesawat MH370 itu diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac dengan 239 penumpang dan anak kapal dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Beijing pada jam 6.40 pagi pada hari yang sama, namun pesawat terbabit hilang dan gagal dikesan sehingga kini.
Sehingga kini, Malaysia telah menerima bantuan kemanusiaan dari 26 buah negara yang turut mengesan dan menjejaki pesawat terbabit di perairan negara masing-masing.
Misi mencari dan menyelamat yang dilancarkan sejak hari pertama mencatatkan usaha pencarian terbesar dan paling lama dalam sejarah iaitu selama 240 jam.
No comments:
Post a Comment