KIEV 24 Mac - Tentera Rusia hari ini dilaporkan menawan satu lagi pangkalan tentera Ukraine di Crimea, selepas melancarkan serangan bom tangan pegun dan menahan askar marin Ukraine.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine bagi Crimea, Vladislav Seleznyov berkata, pangkalan Tentera Laut Ukraine di Feodisia, timur Crimea diserang askar Rusia pada awal pagi menggunakan kenderaan berperisai.
"Pasukan separa tentera Rusia turut menggunakan empat buah helikopter," katanya dalam akaun laman web Facebook.
Beliau berkata, tiga kenderaan askar Rusia kemudian dilihat meninggalkan pangkalan tersebut bersama-sama anggota tentera marin Ukraine yang diikat tangan mereka.
Kepulan asap turut dapat dilihat di berek-berek pangkalan berkenaan.
Pangkalan tentera laut di Feodisia sebelum ini merupakan satu-satunya pangkalan tentera laut yang masih berada di bawah kawalan Ukraine.
Askar elit Rusia, semalam menawan pangkalan udara Belbek di Crimea selepas mengambil alih kawalan ke atas pangkalan lain.
Dalam pada itu, pemimpin Ukraine semalam melahirkan kebimbangan Rusia akan menjajah seluruh Ukraine ekoran jumlah besar tentera Moscow berada di sempadan di timur negara itu. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140325/lu_07/Lagi-pangkalan-tentera-Ukraine-ditawan#ixzz2wvSuuzFv
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment