Tuesday, March 25, 2014

Penyokong Mursi dihukum mati


KAHERAH 24 Mac - Mahkamah Mesir hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi selepas satu perbicaraan secara besar-besaran.
Keputusan tersebut diputuskan pada hari kedua perbicaraan di Minya, selatan ibu negara ini yang bermula kelmarin.
Daripada 529 defendan tersebut, hanya 153 orang telah ditahan manakala selebihnya masih bebas dan telah melarikan diri.
Selain itu, 17 defendan lagi didapati tidak bersalah dalam perbicaraan tersebut.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,200 penyokong Mursi yang dibicarakan di Minya.
Kumpulan kedua defendan sebanyak 700 orang akan dibicarakan esok.
Mereka dituduh menyerang orang ramai dan memusnahkan harta awam di selatan Mesir pada Ogos lalu selepas pasukan keselamatan menggunakan tindakan kekerasan ketika menyuraikan dua kem demonstrasi iaitu Dataran an-Nahda dan Dataran Rabaa al-adawiya pada 14 Ogos lalu.
Penyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin tersebut turut didakwa melakukan keganasan yang menyebabkan dua orang anggota polis maut di Minya.
Beratus-ratus orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian di dua kem tersebut dan pertempuran lain pada tarikh sama.
Mursi yang merupakan Presiden pertama dilantik oleh rakyat, digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu dalam tindakan yang mencetuskan keganasan di seluruh negara ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140325/lu_02/Penyokong-Mursi-dihukum-mati#ixzz2wvQhbpob
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment