Tuesday, March 25, 2014

Uighur terpinggir di bumi sendiri


Oleh Kamarudin Mohamed Salleh

Pada 1 Mac lalu, satu serangan besar-besaran di sebuah stesen kereta api di Kunming, barat daya China, meragut 29 nyawa dan mencederakan lebih 130 yang lain.

Beberapa hari kemudian, pihak berkuasa China mengesahkan 10 individu terbabit dalam kejadian itu dan mereka terdiri daripada lelaki dan wanita.


Kejadian itu digelar oleh sesetengah pemerhati sebagai 11 September China.



Kumpulan pemisah Islam Uighur dari Xinjiang, wilayah paling ramai penduduk beragama Islam di China, dipersalahkan.


Serangan berkenaan menyusuli serangan bom kereta di Dataran Tiananmen pada Oktober 2013 yang meragut lima nyawa.


Kedua-dua kejadian itu dan serangan yang berlaku di Xinjiang sendiri mencetuskan kebimbangan mengenai keganasan yang semakin meningkat di China - antara negara paling ramai penduduk di dunia - ketika ia berusaha meletakkan dirinya sebagai negara ekonomi terbesar dunia.

China mempunyai 55 kumpulan etnik minoriti dengan yang terbesar Uighur (10 juta), diikuti oleh Tibet (enam juta) dan Mongolia di Inner Mongolia di utara negara itu yang bersempadan dengan Mongolia.


Populasi etnik minoriti lain tidak besar dan sesetengahnya hampir pupus.

Etnik Han, penduduk paling ramai di China mewakili 94 peratus populasi negara itu yang seramai 1.3 bilion.


China mendakwa Xinjiang, seperti Tibet, dari segi sejarah adalah sebahagian wilayahnya walaupun dakwaan itu boleh dipersoalkan.


China juga mendakwa memerdekakan Xinjiang pada 1949.


Perlembagaan China menjanjikan autonomi kepada wilayah itu tetapi pada amalannya, mereka tidak mempunyai kelebihan berbanding etnik Han. Autonomi yang diberikan hanya membenarkan kebebasan untuk mengamalkan agama mereka, menggunakan bahasa ibunda dan mengekalkan budaya dan amalan tradisi selain memiliki lebih seorang anak.


Sementara itu, usaha pihak berkuasa China membawa pembangunan ke wilayah minoriti memang tidak dapat disangkal.


Bagaimanapun, kajian yang dijalankan menunjukkan, keuntungan yang diperoleh hasil daripada pembangunan itu hanya dinikmati oleh penduduk Han yang dibawa masuk secara beramai-ramai seiring dengan pembangunan yang dijalankan. Tidak hairanlah jika penduduk Uighur di Xinjiang berasakan mereka seperti orang asing di bumi sendiri sejak dikuasai secara rasmi oleh China pada 1949.


Beijing pada masa sama tidak pernah lupa untuk berusaha mengingatkan etnik Uighur bahawa mereka adalah di bawah penguasaan China.


Pada 1957, kira-kira 100 ulama dan cendekiawan Islam etnik itu dibunuh oleh kerajaan China tanpa alasan.


Tanam sifat takut Bagi Beijing, ia perlu dilakukan untuk menanam sifat takut di kalangan etnik berkenaan.


Pada 1993, abu mayat seorang jeneral tentera negara itu, Wang Zhen, ditaburkan dari puncak sebuah gunung di Banjaran Tien Shan, yang dianggap suci oleh masyarakat Cina.


Sungai yang mengalir dari gunung berkenaan menjadi sumber air utama bagi wilayah Xinjiang dan penduduk Islam Uighur sejak dulu lagi.


Sejak itu, penduduk Uighur berasakan mereka sudah dipaksa hidup dengan air yang dicemari oleh musuh mereka yang didakwa tidak akan dapat mereka tewaskan.


China juga sentiasa membesar-besarkan usaha mereka membangunkan Xinjiang sepanjang dekad lalu, termasuk menghebohkan peningkatan pendapatan penduduk dan penyediaan kemudahan asas.


Perubahan yang berlaku itu menyaksikan Xinjiang berada dalam senarai 10 wilayah paling cepat membangun di China.


Tetapi perkembangan ekonomi tidak dapat dinikmati oleh hampir semua etnik Uighur yang menjadi penduduk asal dan majoriti wilayah berkenaan.


Kerja terbaik dikuasai oleh masyarakat Han. Bagi etnik Uighur yang bernasib baik, mereka hanya berpeluang menjadi buruh seperti di lombong arang batu, kilang simen dan kawasan pembinaan.


Etnik Uighur yang berasal dari Turki itu selama ini adalah masyarakat Islam berfahaman sederhana. Sebelum ini, usaha untuk memerdekakan Xinjiang atau sekurang-kurangnya untuk mendapatkan kuasa autonomi dilakukan tanpa mengguna alasan agama. Tetapi keadaan itu berubah pada penghujung 1980-an apabila mereka mula menggunakan agama sebagai identiti perjuangan untuk menuntut kemerdekaan.


Usaha itu sekali gus membabitkan kumpulan jihad antarabangsa, khususnya al-Qaeda. Tahun lalu terdapat 13 kejadian, semuanya di Xinjiang, kecuali serangan berani mati yang dilakukan oleh tiga sekeluarga di Dataran Tiananmen. Tahun ini dua kejadian serangan membabitkan kumpulan pemisah wilayah itu. Sejak sekian lama pihak berkuasa China menganggap bantahan dan serangan yang dilakukan oleh etnik Uighur adalah hasil kerja sekumpulan kecil penduduk Xinjiang yang tidak berpuas hati. Beijing seolah-olah memandang ringan keinginan etnik itu untuk mendapatkan kemerdekaan atau kuasa autonomi mutlak.


Tetapi, hakikatnya, etnik itu kini sudah melihat pemisahan daripada China sebagai satu-satunya penyelesaian untuk membolehkan mereka keluar daripada keadaan tertindas.


Ramai dalam kalangan mereka sudah mula meninjau menjangkau sempadan negara itu, ke arah kumpulan pejuang Islam, untuk mendapatkan inspirasi.


Dan tidak hairanlah jika penindasan dan taktik ganas yang dikenakan oleh China ke atas mereka, etnik Uighur akan beralih kepada tindakan seperti kumpulan jihad lain, dan menjadikan Xinjiang Chechnya di bumi China.


Penulis Pengarang Global Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

No comments:

Post a Comment