MOSCOW 18 Mac - Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini mengenepikan bantahan Ukraine dan sekatan dari negara-negara Barat dengan meneruskan prosedur untuk menjadikan wilayah autonomi Crimea sebagai sebahagian daripada negaranya.
Putin menandatangani perintah 'untuk meluluskan draf perjanjian antara Persekutuan Rusia dan Republik Crimea dengan memasukkan Crimea dalam Rusia', satu langkah yang bakal membangkitkan krisis serius antara Timur-Barat sejak berakhirnya Perang Dingin.
Perjanjian tersebut ditandatangi Putin bersama Perdana Menteri Crimea, Sergei Aksyonov; Speaker Parlimen Crimea, Vladimir Konstantinov; dan Datuk Bandar Sevastopol, Alexei Chaliy di Kremlin sambil disaksikan Ahli-Ahli Parlimen negara ini.
Tindakan itu dilakukan susulan pungutan suara di Crimea, kelmarin yang menyaksikan hampir 97 peratus pengundi wilayah tersebut memilih untuk menyertai pentadbiran Rusia, selepas 60 tahun berada di bawah pentadbiran Ukraine.
Semalam, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan peribadi ke atas sekumpulan kecil pegawai dari Rusia dan Ukraine yang didakwa terbabit dalam pencerobohan tentera Rusia di Semenanjung Laut Hitam yang dihuni dua juta penduduk etnik Rusia.
Seorang daripada ahli politik Rusia yang terkesan dengan pengharaman visa oleh AS dan EU dan pembekuan aset, Leonid Slutsky berkata di Dewan Rendah Parlimen Rusia atau State Duma, keputusan Crimea amat bersejarah.
"Hari ini kami melihat keadilan dan kebenaran dilahirkan semula," katanya.
Sementara itu, Jepun turut mengambil langkah sama hari ini dengan mengenakan penangguhan perbincangan tentang promosi pelaburan dan pelonggaran visa dengan Rusia.
"Pengiktirafan kemerdekaan Crimea oleh Rusia melanggar kedaulatan Ukraine dan amat dikesali," kata Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga dalam sidang media di Jepun.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140319/lu_01/Putin-tidak-peduli-bantahan#ixzz2wMb2M064
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment