Saturday, May 31, 2014

Aktivis Thailand desak demonstrasi dibenarkan


SEORANG pelancong merakamkan gambarnya bersama askar-askar Thailand dekat Monumen Kemenangan di Bangkok semalam.


BANGKOK - Seorang aktivis antirampasan kuasa di Thailand, Sombat Boongam-anong semalam menggesa agar satu perhimpunan diadakan pada hujung minggu ini untuk menentang larangan berdemonstrasi yang dikuatkuasakan junta tentera.
Aktivis tersebut turut menggesa para penunjuk perasaan yang mahu menyertai perhimpunan itu supaya memakai topeng dan bersedia untuk menghadapi tindakan pihak tentera.
Gesaan untuk mengadakan perhimpunan itu esok turut mencetuskan kebimbangan tercetusnya konfrontasi antara tentera dan rakyat.
Junta tentera sebelum ini melarang perhimpunan politik dan memberi amaran ia tidak akan bertoleransi terhadap bantahan rampasan kuasa yang berlaku pada 22 Mei lalu.
"Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menentang rampasan kuasa ini," kata timbalan jurucakap tentera, Kolonel Winthai Suvaree.
Ketua junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha mempertahankan rampasan kuasa tersebut sebagai kaedah untuk mengembalikan ketenteraman selepas Thailand dilanda krisis politik yang semakin ganas sejak tujuh bulan lalu.
Sejak seminggu lalu, junta tentera bertindak untuk menutup mulut pengkritik-pengkritik rampasan kuasa itu.
Tentera Thailand sejak seminggu lalu telah memanggil lebih 250 orang untuk menyerah diri termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan, pemimpin politik, wartawan dan aktivis yang menentang rampasan kuasa tersebut.
Kira-kira 70 orang masih ditahan sehingga kini.
Antara yang dipanggil untuk menyerah diri termasuk aktivis Sombat yang bersekutu dengan kumpulan Baju Merah.
Sombat kini bersembunyi tetapi memuat naik gesaan untuk mengadakan protes itu di laman Facebooknya.
Dia meminta 10,000 orang supaya hadir dengan memakai topeng untuk 'meraikan rampasan kuasa tersebut'.
"Tiada keperluan untuk bertindak agresif dalam menentang rampasan kuasa ini. Senyumlah dan bertenang," kata Sombat.
"Topeng yang anda pakai sudah cukup untuk menjatuhkan maruah junta tentera," tambahnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0531&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz33F4gEmZM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment