Saturday, May 31, 2014

Bukan Islam pun tak boleh beli


Kuala Lumpur: Penjualan dua jenis coklat Cadbury yang dikesan mengandungi DNA babi iaitu coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) buat masa ini tidak dibenarkan biarpun kepada pembeli bukan Islam.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Roslan Mahayudin berkata, menjadi tanggungjawab kedua-dua pihak yakni peniaga dan Cadbury sendiri untuk menarik balik dua produk itu dari pasaran.


“Dua coklat ini tidak boleh dijual walaupun kepada pembeli bukan Islam kerana labelnya masih mempunyai logo halal JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sedangkan ia tidak begitu. Jadi selagi kes ini belum selesai, kita harap ia ditarik balik dari pasaran atau KPDNKK terpaksa merampasnya dan akan menimbulkan masalah lain pula,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.



Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan hasil pemeriksaan penguatkuasaan KPDNKK di 175 premis seluruh negara setakat ini yang mendapati peniaga tidak lagi menjual dua jenis coklat terbabit sejak kenyataan rasmi dikeluarkan Kementerian Kesihatan mengenai kandungan DNA itu minggu lalu.


“Kita juga berpuas hati dengan tindakan Cadbury yang serta-merta menarik produk mereka dari pasaran sebaik pengumuman dibuat. Cuma apa yang penting, pengguna harus faham, penguatkuasaan ini berlaku untuk dua coklat yang dinyatakan, bukannya semua produk Cadbury,” katanya.


Sementara itu, tinjauan Harian Metro di lebih 10 premis termasuk pusat beli-belah sekitar ibu negara mendapati dua produk berkenaan tidak lagi berada dalam ruang niaga mereka.

Bagaimanapun, produk Cadbury lain masih dijual seperti biasa dan stok jualan yang dipamerkan juga kelihatan masih banyak.


Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Amir berkata, tidak dinafikan penjualan untuk produk keluaran Cadbury khususnya coklat susu perisa lain agak terjejas sejak berita mengenai kandungan DNA babi dalam dua coklat susu tersebar minggu lalu.

“Kebiasaannya pun coklat susu Cadbury bukanlah produk yang selalu dibeli pengguna tapi memandangkan majoriti pelanggan saya Melayu, jualan untuk produk Cadbury di kedai saya agak merosot walaupun hanya dua jenis yang disahkan ada DNA babi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

No comments:

Post a Comment