Friday, May 30, 2014

AS peruntuk RM15.5 bilion perangi keganasan


WASHINGTON 29 Mei - Amerika Syarikat (AS) mengumumkan peruntukan dana sebanyak AS$5 bilion (RM15.5 bilion) untuk membantu melatih negara-negara luar memerangi keganasan.
White House melaporkan, Presiden AS, Barack Obama akan bekerjasama dengan Kongres bagi mendapatkan dana untuk operasi latihan itu.
Inisiatif tersebut dilaksanakan berikutan kritikan terhadap polisi luar negara ini semalam apabila Obama bertegas untuk menggunakan langkah diplomatik dan mengelak campur tangan tentera bagi menyelesaikan krisis global.
Obama ketika berucap di Akademi Ketenteraan West Point berkata, aspek ketenteraan AS tidak seharusnya dipandang sebagai perkara utama yang boleh mempengaruhi negara-negara lain.
"Saya mengkhianati rakyat serta negara ini sekiranya saya menghantar anda ke arah mudarat hanya kerana terdapat masalah di negara luar yang perlu diselesaikan, atau kerana saya risau terhadap kritikan yang menganggap campur tangan tentera adalah satu-satunya langkah yang diambil AS untuk mengelak daripada dianggap lemah," kata beliau yang dipetik agensi berita, Channel News Asia.
Obama menambah, kemampuan AS untuk mengubah pendapat dunia tentang negara ini telah menyingkirkan Moscow dan kutukan AS terhadap Rusia, membantu Ukraine mengadakan pilihan raya Presiden yang telah diadakan minggu lalu.
"Kami tidak tahu keadaan seterusnya selepas ini, dan semestinya akan ada cabaran besar. Tetapi dengan memberi sokongan terhadap sekutu negara dan kerjasama dengan institusi antarabangsa telah memberi peluang kepada rakyat Ukraine memilih masa depan mereka tanpa perlu campur tangan tentera AS," katanya.
Keengganan Obama untuk menggunakan tentera terhadap kerajaan Bashar al-Assad di Syria kerana menggunakan senjata kimia tahun lalu menjejaskan imej AS dalam kalangan sekutunya.
Namun, Obama berkata, beliau berjaya memaksa kerajaan Syria dalam perjanjian antarabangsa bagi menyingkirkan senjata kimia daripada negara itu.
"Tidak ada langkah ketenteraan yang mampu menyingkirkan penderitaan dalam masa terdekat," kata beliau. - REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140530/lu_06/AS-peruntuk-RM155-bilion-perangi-keganasan#ixzz339ONCIo3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment