Friday, May 30, 2014

Tidak perlu lakukan proses menyamak


KUALA LUMPUR – Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia menjelaskan umat Islam yang telah memakan produk Cadbury yang didakwa mengandungi DNA babi tidak perlu melakukan proses menyamak kerana dikategorikan keadaan ‘Umum al-Balwa’.
Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin berkata, kategori keadaan ‘Umum al-Balwa’ merujuk kepada keadaan seseorang yang ketika itu berada dalam musibah atau kesukaran dielakkan maka makanan itu halal dimakan.
“Kita tidak perlu menyamak perut, mulut mahupun menukar darah kerana perkara ini adalah di luar pengetahuan dan kawalan kita.
“Agama Islam bukanlah satu agama yang ketat dan menyusahkan umatnya maka kita tidak perlu gusar terhadap perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau menjelaskan, hukum ke atas produk itu yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi DNA babi adalah seperti hukum asalnya iaitu halal dimakan kerana berlaku pencemaran atau kontaminasi yang sukar dielakkan.
“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terbabit jika perkara ini dilakukan secara sengaja,” katanya lagi.
Kosmo! Ahad lalu melaporkan Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel produk Cadbury iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond disahkan mengandungi DNA babi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0530&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz339VaR0O5 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment